Iklan

Pusat perlindungan bayi selamat 52 bayi sejak 2020

Aminah Farid3 years ago7th Jul 2021Berita
baby hatch
OrphanCare mempunyai tiga baby hatch di Semenanjung Malaysia - di Petaling Jaya, Johor Baru, dan Sungai Petani yang beroperasi 24 jam. – Gambar OrphanCare, 7 Julai, 2021.
Iklan

SEBANYAK 52 bayi diselamatkan daripada dibuang dalam tempoh setahun setengah yang lalu oleh OrphanCare, lebih ramai berbanding yang pernah diterima oleh pusat perlindungan bayi sejak ia dibuka pada 2008.

Tahun lalu, 45 bayi diselamatkan, dan tahun ini, tujuh bayi kata pegawai sokongan dan komunikasi Riza Alwi.

Ketika ditanya sama ada angka itu ada kaitan dengan pandemik Covid-19, OrphanCare tidak menyatakannya secara khusus tetapi berkata kebanyakan kes melibatkan masalah kewangan untuk menjaga bayi yang berpunca daripada kehamilan tidak dirancang.

Riza berkata daripada 45 bayi yang diselamatkan tahun lalu, 36 daripadanya diserahkan terus kepada OrphanCare, dan sembilan ditinggalkan di tempat pelindung bayinya (baby hatch).

Terdapat tiga baby hatch di Semenanjung Malaysia - di Petaling Jaya, Johor Baru, dan Sungai Petani. Kesemuanya beroperasi 24 jam dengan pekerja sosial sentiasa bersiap sedia.

Baby hatch itu dilengkapi sensor yang dapat mengesan apabila bayi diletakkan di dalamnya.

OrphanCare, yang diasaskan oleh Allahyarham Adnan Mohd Tahir diwujudkan dengan tujuan agar semua bayi yang diselamatkan akan diambil sebagai anak angkat.

Riza berkata kebanyakan ibu yang menyerahkan bayi mereka adalah wanita muda, ada di antaranya pelajar universiti. Sebilangan besarnya berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana.

“Kebanyakan wanita muda ini tahu mereka hamil pada saat-saat akhir dan biasanya dalam keadaan takut dan malu dengan apa yang mungkin difikirkan atau dilakukan oleh keluarga mereka,” katanya.

Ketakutan terhadap stigma sosial untuk melahirkan bayi luar nikah juga menjadi faktor pendorong untuk menyerahkan bayi mereka.

“Kadang-kala, ahli keluarga sendiri yang datang ke pusat dengan ibu berkenaan untuk menyerahkan bayi agar dijadikan anak angkat kerana bimbang akan stigma sosial dan rasa malu,” kata Riza.

“Sebilangan gadis ini tidak memiliki kesedaran tentang cara melakukan hubungan seks dan apa yang boleh mereka lakukan untuk mengelakkan kehamilan,” katanya.

Kadang-kala kehamilan yang tidak diingini juga disebabkan oleh pemerkosaan, tambahnya.

“Mereka mengikut teman lelaki di suatu tempat dan akhirnya dipaksa melakukan hubungan seks, tetapi tidak dapat memberitahu keluarga atau polis mereka kerana mereka kemudian akan ditanya, ‘mengapa kamu ikut teman lelaki kamu?’,” kata Riza.

Beliau berkata tindakan yang menyalahkan semula mangsa boleh mendorong ibu muda ke dalam keadaan terdesak hingga membuang bayi mereka.

Riza berkata bayi yang diserahkan kepada OrphanCare biasanya bayi baharu lahir atau berumur beberapa bulan dan biasanya akan diambil keluarga angkat dalam tempoh seminggu atau lebih.

Bagaimanapun katanya, proses yang terlibat bukanlah mudah.

Pertama, pemeriksaan latar belakang rumah bakal keluarga angkat dan sosioekonomi akan dilakukan oleh pekerja sosial pusat tersebut.

Bakal keluarga angkat kemudian akan dibimbing mengenai cara mengajukan permohonan  melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan OrphanCare.

Terdapat juga kes di mana ibu-ibu yang bersalin memutuskan untuk menjaga bayinya selepas melalui kaunseling dan proses pengantaraan di kalangan ahli keluarga.

Bagi ibu yang melahirkan bayi mereka untuk dijadikan anak angkat, OrphanCare membenarkan hubungan komunikasi antara ibu dan keluarga angkat.

“Malah ada masanya kami mengadakan majlis ulang tahun di pusat dan ibu kandung dijemput oleh ibu bapa angkat,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2008, OrphanCare sudah menyelamatkan lebih 444 bayi dan daripada jumlah tersebut, 272 diambil sebagai anak angkat, 159 diambil oleh ibu kandung dan 13 dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Riza berkata beliau berterima kasih kepada ibu yang tidak meninggalkan anak mereka di tempat lain, sebaliknya memilih ke OrphanCare untuk memberi peluang kepada bayi mereka mendapatkan kehidupan lebih baik.

Namun, katanya perlu ada penekanan dalam mendidik anak muda bagaimana memiliki hubungan selamat dan apa yang harus dilakukan jika mereka berada dalam situasi tidak diingini seperti kehamilan tidak dirancang.

“Apabila kita bercakap mengenai pendidikan sosial, orang berfikir kita cuba menggalakkan orang muda melakukan hubungan seks, hakikatnya bukan,” katanya.

Beliau juga menyentuh sikap hipokrit masyarakat terhadap penerimaan bayi luar nikah.

“Apabila seorang wanita hamil dan melahirkan anak luar nikah, terdapat konotasi negatif seperti ‘anak haram’ oleh masyarakat dan keluarga ibu.

“Sedangkan apabila bayi yang sama diberikan kepada ibu bapa angkat, mereka menganggapnya sebagai ‘anak syurga’.”  – 7 Julai, 2021.

Iklan
Iklan