Iklan

Hospital di 4 negeri lepasi kapasiti maksimum, kata KP kesihatan 

Aminah Farid3 years ago7th Jul 2021Berita
Covid-19 corona virus hkl icu 12
Ia menyebabkan petugas barisan hadapan perubatan dan kesihatan mengalami gejala burnout kerana terpaksa menangani banyak kes Covid-19 untuk tempoh yang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.
Iklan

HOSPITAL awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan melebihi kapasiti maksimum dalam merawat pesakit Covid-19, menyebabkan sistem kesihatan berdepan ancaman lumpuh, kata Kementerian Kesihatan hari ini.

Purata jumlah kes Covid-19 per 100,000 di empat negeri berkenaan adalah lebih 37, yang merupakan purata peningkatan 2.6% sejak minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6% selama tujuh hari kebelakangan ini.

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini jumlah purata kes baharu harian adalah sebanyak 6,539 kes. Ini didapati masih tinggi berbanding nilai ambang Pelan Pemulihan Negara iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari, kata Noor Hisham.

“Nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa.

“Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Sarawak, dan Pahang,” tambahnya.

Noor Hisham berkata tren kemasukan kes-kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi.

Tambahan pula katanya ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23, dari 6 Jun 2021 hingga 12 Jun 2021 hingga kini.

Ketika ini jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus dan ini menyebabkan petugas barisan hadapan perubatan dan kesihatan mengalami gejala burnout kerana terpaksa menangani banyak kes Covid-19 untuk tempoh yang berlarutan.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini dengan menukar beberapa hospital di Lembah Klang menjadi hospital Covid-19 sepenuhnya.

Contoh hospital yang diubah adalah Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) turut ditingkatkan untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5.

Pesakit bukan Covid-19 dirawat di hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar.

Noor Hisham berkata kementerian turut mempertimbang untuk menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes Covid-19 dan menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19.

Tambahnya kementerian juga akan menambah kapasiti katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) khusus untuk merawat pesakit berisiko rendah.

Setakat ini Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut dicadangkan sebagai hospital Covid-19.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 di katil wad biasa dan di katil ICU, kata Noor Hisham.

Lebih ramai petugas kesihatan akan digerakkan dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengawal wabak Covid-19 dan vaksinasi.

Malaysia hari ini merekodkan 7,097 kes jangkitan baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 799,790.

74,344 kes aktif direkodkan dengan 948 pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

91 kematian turut direkodkan di seluruh negara hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 5,768.– 7 Julai, 2021.

Iklan
Iklan