KKM tambah katil, peralatan, kakitangan untuk kekang Covid-19 di Lembah Klang
Iklan
KATIL-KATIL telah penuh di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu Maeps 2.0 (PKRC Bersepadu Maeps 2.0) di Serdang dan hospital sekitar Lembah Klang akibat lonjakan kes Covid-19, walaupun kerajaan sudah meningkatkan kapasitinya, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, semua 154 katil yang diperuntukkan untuk pesakit Kategori 4 di PKRC Bersepadu Maeps 2.0 telah penuh.
“Baki katil yang disediakan bagi pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan kategori 3 di PKRC Bersepadu Maeps 2.0 juga hampir digunakan sepenuhnya.
“Berdasarkan data terkini, PKRC Bersepadu Maeps 2.0 menerima secara purata 800 orang pesakit Covid-19 dalam tempoh sehari dengan purata 200 pesakit merupakan pesakit Covid-19 yang berada dalam kategori 4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini negara melaporkan 8,868 kes baharu Covid-19, angka kedua tertinggi di negara ini. Jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 808,658.
Dr Adham berkata kementeriannya sedang meningkatkan sumber di pusat rawatan Covid-19 tersebut bagi mengatasi jumlah pesakit yang semakin meningkat.
“KKM telah menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan PKRC Bersepadu Maeps 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat,” tambahnya.
Pada 25 Jun, The Malaysian Insight melaporkan 150 pesakit Covid-19 serius di PKRC Bersepadu Maeps 2.0 sedang menunggu untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut kerana katil sudah penuh.
Katanya, kementerian juga telah menambah katil ICU di KKM dan hospital pengajar universiti.
“Ini termasuk 20 unit katil ICU tambahan di Hospital Ampang serta 8 unit katil ICU dan 45 unit katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia mulai 7 Julai 2021 bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu Maeps 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.
“Selain itu, Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor turut menerima 60 katil dan peralatan tambahan yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya pesakit Covid-19.
“Hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan juga ditubuhkan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR,” katanya.
Semalam, ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkongsi gambar menunjukkan puluhan pesakit terpaksa menggunakan katil sementara dan ditempatkan di luar jabatan kecemasan HTAR.
Tambah Dr Adham, Hospital Angkatan Bersenjata Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur juga telah mula menerima pesakit Kategori 3 dan Kategori 4.
“Kementerian juga telah melaksanakan segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 orang petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 orang pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta seramai 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Kelang ke PKRC Maeps berkuat kuasa mulai 8 Julai 2021 untuk tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC Bersepadu Maeps 2.0 bagi merawat pesakit Covid-19.
“Sebanyak 1,550 silinder oksigen telah dihantar bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu Maeps 2.0.
“KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan pemekat oksigen (oxygen concentrator) sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal,” katanya.
Jelas Dr Adham, antara langkah lain yang diambil termasuk mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil.
“Pengoperasian ILKKM ini membolehkan KKM menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 agar PKRC Bersepadu Maeps 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4.”
Selain itu, katanya, pekerja sukarelawan, terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) telah diminta untuk membantu menjaga pesakit Covid-19 kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka sedang dirawat di hospital kerana Covid-19.
Kata Dr Adham, kementerian juga bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC.
Beliau menambah, walau apapun langkah yang diambil, langkah pencegahan dan kawalan khususnya oleh setiap individu dalam masyarakat adalah penting bagi menghentikan penularan pandemik Covid-19.
Dr Adham mengingatkan semua pihak untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, terus berada di rumah dan sentiasa meningkatkan kepatuhan kepada amalan normal baharu. – 8 Julai, 2021.