KKM peruntuk RM39 juta pindahkan pesakit ke hospital swasta, kata Dr Noor Hisham
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan RM39 juta untuk penyumberluaran hospital kerajaan ke hospital swasta untuk tahun 2021, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Jumlah ini melebihi tiga kali ganda dari RM11 juta yang diperuntukkan untuk tujuan sama tahun lalu.
Katanya, KKM akan terus memindahkan pesakit dari hospital awam ke hospital swasta bagi memberi ruang kepada hospital awam menangani kes Covid-19.
“Pada tahun lepas, sebanyak RM 11 juta dibelanjakan oleh kerajaan bagi aktiviti penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan perubatan. Aktiviti penyumberluaran (outsourcing) tersebut melibatkan 31 hospital swasta di mana 3,741 pembedahan dan prosedur telah berjaya dilaksanakan.
“Aktiviti penyumberluaran (outsourcing) diteruskan lagi pada tahun 2021 dan peruntukan sebanyak RM 39,087,983 telah diagihkan kepada 14 buah negeri untuk tujuan yang sama. Setakat ini sebanyak 72 buah hospital swasta terlibat di dalam aktiviti penyumberluaran di seluruh negara,” katanya.
Penyumberan luar melibatkan kes mendesak dan separa mendesak seperti yang memerlukan pembedahan serta bagi pesakit yang berdepan masalah jantung dan kanser.
Ini akan mengurangkan masa menunggu pesakit, tambahnya.
Berikutan lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang, Dr Noor Hisham berkata sejak 6 Julai, Hospital Kuala Lumpur sudah merujuk 25 pesakit ke hospital swasta berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
“Dianggarkan seramai empat pesakit akan dihantar setiap hari.
“Jumlah pesakit yang akan dihantar bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam jangka masa enam bulan dianggarkan seramai 993 orang yang melibatkan peruntukan berjumlah RM 18 juta,” katanya.
Pada 2020, sebanyak 31 hospital swasta terlibat dalam program penyumberan luar di mana 3,741 pembedahan dilakukan.
“Setakat ini sebanyak 72 buah hospital swasta terlibat di dalam aktiviti penyumberluaran di seluruh negara,” katanya.
Malaysia hari ini mencatatkan 8,868 kes Covid-19, jumlah harian kedua tertinggi sejak wabak bermula.
Sebanyak 135 kematian baharu juga direkodkan hari ini.
Kapasiti unit rawatan rapi juga meningkat apabila seramai 952 pesakit ditempatkan di ICU.
KKM juga mengerahkan pegawai perubatan kontrak yang tamat latihan bertugas ke hospital yang dalam keadaan kritikal. – 8 Julai, 2021.