Putrajaya digesa bantu segera Hospital Klang, kata ahli Parlimen
Iklan
PUTRAJAYA harus memperuntukkan lebih banyak wang bagi menyelesaikan keadaan membimbangkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang apabila pesakit diletakkan di luar Jabatan Kecemasan selama beberapa hari, kata ahli Parlimen Charles Santiago.
Charles memberitahu The Malaysian Insight bahawa pesakit dibiarkan berbaring di kawasan itu selama tiga hingga empat hari sementara menunggu wad hospital kosong.
“Mereka diuji positif (Covid-19) dan menunjukkan gegala virus serta menunggu untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya.
The Malaysian Insight melawat hospital berkenaan hari ini dan mendapati pesakit sedang menunggu giliran, berbaring di atas katil serta duduk di bangku di luar jabatan kecemasan.
Kawasan hospital juga dilihat sibuk dengan ambulans berhenti di bahagian kecemasan setiap 15 hingga 20 minit.
Kawasan itu bagaimanapun ditutup dengan kain hitam dari pandangan umum,
Charles mendakwa bahawa bekalan makanan juga tidak mencukupi.
Beliau berkata, hospital yang memberikan perkhidmatan kepada kira-kira sejuta penduduk di Klang, Kapar dan Kuala Langat itu berdepan kekurangan tenaga kerja, alat bantuan pernafasan dan katil.
“Memandangkan jumlahnya yang meningkat di Klang, tempat itu menjadi sesak.
“Seorang wanita warga emas duduk di kerusi (di luar jabatan kecemasan) sejak dua hari lepas.
“Doktor tahu dia ada di situ. Wanita itu sukar bernafas, batuk tetapi duduk di kerusi sejak dua hari lalu seperti pesakit lain dan hanya akan masuk di bahagian kecemasan jika ada ruang kosong,” katanya.
Beliau berkata hospital memerlukan lebih banyak alat bantuan pernafasan bagi menampung pesakit Covid-19 yang kritikal.
“Saya meminta RM20 juta diberikan segera dalam tempoh seminggu akan datang dan sistem sokongan dari hospital tentera dan menghantar pegawai perubatan kontrak.
“Doktor di jabatan kecemasan dan di tempat lain bekerja di mana saja antara 14 dan 15 jam sehari,” katanya.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam berkata bahawa sebanyak 60 lagi katil akan ditambah dan RM1.1 juta diperuntukkan bagi membeli peralatan.
Sebuah hospital medan tentera dengan 50 katil juga akan didirikan di sekitar hospital.
Santiago berkata peruntukan RM1.1 juta tidak mencukupi kerana alat bantuan pernafasan sahaja boleh menelan belanja sehingga RM200,000. – 9 Julai, 2021.