Hospital tentera sedia zon pengurusan bencana untuk kes Covid-19
Iklan
RUANG parkir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) sememangnya ruang yang digazetkan sebagai Zon Pengurusan Bencana (DMZ) sejak awal pembinaan hospital itu.
Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang berkata, ruang parkir hospital itu digazetkan sebagai DMZ direka khas semasa awal pembinaan hospital berkenaan.
“Ruang parkir itu digazetkan sebagai DMZ bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi.
“Ia juga disokong dengan faktor kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan dari aspek bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan lain-lain bantuan sokongan perubatan yang mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Afendi membuat tinjauan ke hospital itu bagi melihat persiapan dalam menyediakan DMZ untuk menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang.
“DMZ ini berkeupayaan menyediakan 50 katil tambahan dan persiapan DMZ sudah siap sepenuhnya semalam dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Ia akan beroperasi sepenuhnya untuk menerima pesakit Covid-19 pada hari ini juga,” katanya.
Menurut Afendi, ruang pakir itu diletakkan di bawah pemerintahan Pegawai Memerintah HATTM, Rosman Ab Rahman dan Komander Operasi DMZ Mohamad Azlan Arrifin.
Hari ini tular di media sosial, persediaan kakitangan HATTM menjadikan ruang parkir hospital itu dengan kelengkapan seperti katil untuk pesakit.
Turut tular mesej yang menyatakan selepas 10 tahun dalam operasi, hospital angkatan tentera itu perlu beroperasi sebagai ward ‘disaster’ dan ruang parkir hospital dijadikan sebagai wad pesakit.
Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menyatakan KKM memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan Kategori 4. – 9 Julai, 2021.