Suntikan vaksin lebih 300,000 dos untuk 5 hari berturut
Iklan
MALAYSIA berada di landasan tepat mencapai imuniti kelompok apabila vaksinasi harian melepasi 300,000 dos untuk lima hari berturut-turut apabila 337,478 lagi dos berjaya disuntik semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Ini menjadi petunjuk yang kerajaan berjaya mencapai sasaran vaksinasi 10% populasi menjelang pertengahan Julai kerana data semalam menaikkan jumlah keseluruhan dos vaksin berjaya disuntik setakat ini kepada 10.75 juta.
Sejumlah 313,761 disuntik pada 5 Julai, 340,043 (6 Julai), 375,842 (7 Julai) dan 376,909 pada 8 Julai.
Dr Adham juga mengucapkan tahniah kepada semua doktor, jurusuntik vaksin, pengamal perubatan am, pekerja kesihatan dan sukarelawan yang bertugas di pusat pemberian vaksin di seluruh negara.
“Anda semua telah melakukan sesuatu yang cemerlang, dan Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran immuniti kelompok,” katanya.
Semalam, 213, 396 suntikan adalah dos pertama, manakala 124,082 adalah dos kedua.
Data terkini itu menjadikan 7.43 juta dos pertama berjaya disuntik meliputi 22.8% populasi, sementara 3.31 juta lagi adalah dos kedua meliputi 10.2% populasi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata yang kerajaan berhasrat memvaksin 10% penduduk Malaysia menjelang pertengahan Julai.
Sasaran itu bermakna sekitar 10.7 juta dos perlu disuntik dalam tempoh itu.
Tambahnya, untuk setiap 100 dos vaksin Covid-19 yang disuntik, 30 dos adalah suntikan kedua. – 10 Julai, 2021.