Iklan

Vaksin China Anhui Zhifei mungkin digunakan di Malaysia

Ragananthini Vethasalam3 years ago12th Jul 2021Berita
000 9ag4z2
Menurut lembaga pengarah MYEG, kos vaksin akan ditentukan kemudian selepas mendapat kebenaran bersyarat oleh NPRA. – Gambar AFP, 12 Julai 2021.
Iklan

ANHUI Zhifei Longcom Biopharmaceutical Co. Ltd yang merupakan pemain baharu dalam pengeluar vaksin Covid-19, mungkin menjadi satu daripada vaksin yang memasuki pasaran sebaik sahaja program vaksinasi swasta bermula.

MY EG Services Bhd (MYEG) baru-baru ini memberitahu Bursa Malaysia yang firma itu sudah menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Anhui Zhifei Biopharmaceutical Co Ltd (Zhifei) bagi pembekalan 10 juta dos vaksin Covid-19.

“Lembaga Pengarah Syarikat (Lembaga) ingin mengumumkan Syarikat pada 25 Jun 2021 menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Anhui Zhifei Biopharmaceutical Co. Ltd. (Zhifei) untuk membeli 10 juta dos vaksin Zhifei, memastikan jumlah vaksin yang sesuai disediakan untuk penghantaran seawal Ogos 2021.”

“Kos vaksin akan ditentukan kemudian selepas mendapat kebenaran bersyarat oleh NPRA,” menurut lembaga syarikat tersebut dalam pengumuman di Bursa Malaysia.

The Malaysian Insight menghubungi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba untuk mendapatkan pengesahan sama ada permohonan persetujuan itu diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara.

Berikut adalah beberapa perincian mengenai vaksin Anhui Zhifei

Apakah jenis vaksin?

Ia adalah vaksin hasil penggabungan semula daripada subunit protein. Teknologi penggabungan semula vaksin ini digunakan dalam beberapa jenis vaksin untuk penyakit seperti hepatitis B dan herpes zoster.

Ia boleh dihasilkan secara besar-besaran kerana tidak memerlukan makmal bio-keselamatan berkelas tinggi.

Kos suntikan menjimatkan dan senang disimpan serta diagihkan.

Siapa membangunkannya?

Vaksin ini dibangunkan bersama oleh Institut Mikrobiologi di bawah Akademi Sains China (IMBCAMS) dan Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical Co. Ltd.

Bagaimanapun, ia tidak dikaitkan dengan vaksin percubaan oleh (IMBCAMS) di Malaysia awal tahun ini.

Berapa banyak suntikan diperlukan?

Tiga suntikan disarankan dengan selang satu bulan antara setiap dos.

Xinhua memetik Dai Lianpan, anggota pasukan pembangunan vaksin berkata kedua-dua dos tersebut akan menghasilkan tahap antibodi peneutralan lebih rendah sedikit berbanding pesakit yang pulih.

Dai menambah dos ketiga akan menggandakan tahap antibodi dan menghasilkan kesan imun lebih tahan lama.

Berapa banyak dos diberi setakat ini?

Vaksin ini dibenarkan untuk penggunaan kecemasan oleh pihak berkuasa kesihatan China pada 10 Mac.

Kumpulan pertama selesai pada 3 Mei.

Menurut Bernama, lebih 60 juta dos dikeluarkan di puluhan wilayah China termasuk Beijing.

Vaksin ini juga digunakan di Uzbekistan.

Keputusan ujian klinikal

Menurut laporan Xinhua, 83% peserta ujian klinikal fasa dua menghasilkan antibodi peneutralan setelah dua dos vaksin, sementara 97% menghasilkan antibodi peneutralan setelah tiga dos.

Peserta berumur antara 18 hingga 59 tahun.

Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, kadar serokonversi antibodi peneutralan mencapai 95% selepas tiga dos, menurut ujian peringkat awal.

Tiada tindak balas serius berkaitan dengan vaksinasi dilaporkan.

Ujian juga dilakukan di Uzbekistan, Pakistan dan Indonesia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata bulan lalu yang vaksinasi swasta mungkin dimulakan pada Ogos bagi mereka yang bersedia membayar.

Malaysia kini menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – 12 Julai, 2021.

Iklan
Iklan