Iklan

Kes aktif Covid-19 catat rekod tertinggi, kata KP kesihatan

Ragananthini Vethasalam3 years ago12th Jul 2021Berita
Cac shah alam july 12, 2021 afif 01
Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 kini sebanyak 844,870 manakala jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 747,338. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Julai, 2021.
Iklan

MALAYSIA mencatatkan rekod tertinggi kes aktif hari ini sebanyak 91,272 dengan seramai 964 pesakit dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdapat juga 102 kematian baharu dilaporkan.

Ini adalah pertama kalinya sejak wabak bermula, jumlah kes aktif mencecah 90,000 dengan jumlah kes sebelum ini sebanyak 87,841 dilaporkan semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata, daripada jumlah keseluruhan pesakit kritikal di ICU di seluruh negara, 452 daripadanya diberi alat bantuan pernafasan.

Sementara itu sebanyak 102 kematian akibat koronavirus dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 6,260.

Kes baharu melebihi kes pulih untuk hari ke-17 berturut-turut apabila sebanyak 8,574 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 5,041 pesakit pulih.

Dengan ini, jumlah keseluruhan kes positif kini sebanyak 844,870 manakala jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 747,338. 

Terdapat 14 kes meninggal dunia di luar hospital dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham.

Lapan mangsa mempunyai sejarah penyakit sementara maklumat status kesihatan enam yang lain tidak dimaklumkan.

Mangsa termuda merupakan lelaki berusia 29 tahun yang meninggal dunia di Hospital Melaka.

Bagaimanapun pesakit tertua merupakan lelaki berusia 86 tahun yang meninggal dunia di luar hospital dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahiman di Klang, Selangor.

Mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung.

Selangor menyumbang jumlah kematian tertinggi dengan 46 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 16 kes dan Negeri Sembilan dengan 14 orang.

Pahang melaporkan tujuh kes sementara Johor melaporkan enam kes.

Kedah dan Melaka masing-masing melaporkan tiga kes, Sabah dan Pulau Pinang dengan dua kematian manakala Kelantan, Perak dan Sarawak masing-masing melaporkan satu kematian. – 12 Julai, 2021.

Iklan
Iklan