Kluster komuniti mendominasi kluster baharu Covid-19, kata KKM
Iklan
SEPARUH dari kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini dikesan dari jangkitan komuniti, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, selain dari lapan kluster komuniti, terdapat lima kluster berkaitan tempat kerja dan tiga berkaitan kumpulan berisiko tinggi.
Lapan kluster komuniti adalah:
* Kampung Pulau Kundar di Tumpat dan Kota Baru, Kelantan (12 kes)
* Jalan Dusun Langgar di Tumpat dan Kota Baru, Kelantan (14 kes)
* Lorong Kubur Maras di Kota Baru, Kelantan (14 kes)
* Tanjung Gelam di Kuala Nerus, Terengganu (20 kes)
* Tok Molor di Kuala Terengganu, Terengganu (13 kes)
* Rantau Kesidang di Maran dan Jerantut, Pahang (29 kes)
* Ketior Dalam di Kuala Kangsar, Perak (14 kes)
* Kampung Kendaie di Lundu, Sarawak (23 kes)
Kluster Kampung Kendaie berkaitan dengan pengebumian sementara kluster lain kebanyakannya berkaitan dengan pesakit indeks simptomatik.
Sementara itu lima kluster tempat kerja yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan adalah:
* Tapak pembinaan Jalan Cendana di Titiwangsa, Kuala Lumpur (empat kes)
* Lorong Sentosa Satu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan (lapan kes)
* Putrajaya 15 di Putrajaya (17 kes)
* Industri Utas di Klang, Hulu Langat, Kuala Langat dan Petaling di Selangor (35 kes)
* Resort Sepang di Sepang, Selangor (13 kes)
Kluster Jalan Cendana adalah hasil pemeriksaan di tapak pembinaan sementara di Putrajaya 15 melibatkan pekerja sebuah pasar raya.
Sementara itu Lorong Sentosa Satu dikesan di sebuah syarikat perkhidmatan sementara Industri Utas dikesan di sebuah kilang.
Dua dari tiga kluster yang dikaitkan dengan kumpulan berisiko tinggi dalam senarai hari ini dikesan di kemudahan kesihatan.
Kluster ini dikesan di Taman Utama Satu di Muar dan Tangkak, Johor yang menyaksikan lapan kes dan Seksyen 14 Jalan Bayam di Kota Baru, Tumpat dan Pasir Mas yang melaporkan 10 kes.
Bayam Tiga di Kuala Langat dan Klang, Selangor adalah kluster ketiga dalam kategori tersebut. Kluster yang melibatkan penduduk dan kakitangan sebuah pusat jagaan merekodkan sembilan kes.
Dr Noor Hisham berkata, setakat ini terdapat 865 kluster aktif di negara ini. – 12 Julai, 2021.