Pusat khidmat syarikat telekomunikasi dibenar buka esok, kata TPM
Iklan
PUSAT perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang berada di dalam pusat membeli-belah dan pasar raya besar dibenarkan beroperasi mulai esok, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Majlis Keselamatan Negara bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada semua kedai tersebut yang berada di dalam pusat membeli-belah dan pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang tempoh pelan pemulihan negara, mulai 13 Julai,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, syarikat perkhidmatan ini tidak termasuk dalam senarai perniagaan yang dibenarkan beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Kebenaran pembukaan semula pusat perkhidmatan itu di pusat membeli-belah dan pasar raya besar, bagaimanapun tidak terpakai untuk kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Perkara itu disahkan pegawai khas kepada Ismail Sabri ketika dihubungi The Malaysian Insight sebentar tadi.
Sebahagian besar kawasan di Selangor dan beberapa bahagian di Kuala Lumpur diletakkan dibawah PKPD sejak 1 Julai lalu. – 12 Julai, 2021.