Iklan

Malaysia sudah jadi macam Itali dan India, kata doktor

Ragananthini Vethasalam3 years ago13th Jul 2021Berita
Covid-19 corona virus hkl morgue 01
Seorang doktor mendakwa jumlah kes jangkitan Covid-19 lebih tinggi daripada yang dilaporkan kerana berdasarkan kadar kebolehjangkitan, satu daripada 10 orang boleh dijangkiti virus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.
Iklan

ATAS rasa hampa dan bimbang, sekumpulan doktor dari beberapa hospital di Lembah Klang mendedahkan suasana bekerja yang terpaksa mereka hadapi setiap hari melawan pandemik Covid-19, semasa satu perbincangan dalam talian yang kini tular di media sosial.

Mereka menyifatkannya sebagai mengerikan tetapi pada masa sama meluluhkan hati.

Kapal sudah tenggelam, dan kami sedang lemas, kata mereka, yang menyamakan keadaan Malaysia pada hari ini seperti laporan yang pernah muncul dari Itali tahun lalu dan India awal tahun ini.

Kumpulan doktor ini mendedahkan keadaan yang mereka hadapi kepada Projek Bangsa Malaysia dalam satu rakaman yang dibuat pada 9 Julai.

Nama dan identiti mereka dirahsiakan kerana hal sensitif yang mereka ketengahkan dalam video bertajuk “The Pleas of Our Frontliners” (Rayuan Barisan Hadapan Kita).

Projek Bangsa Malaysia juga mengubah suara doktor ini untuk menyamarkan identiti mereka. Gambar serta hospital tempat mereka berkhidmat juga tidak diberitahu.

“Kalau kita ingat kapal masih lagi berlayar, saya rasa kapal itu sudah tenggelam. Kalau kita ingat rumah belum lagi terbakar, sebenarnya rumah sudah terbakar,” kata seorang doktor.

Seorang lagi doktor mendakwa jumlah kes jangkitan Covid-19 sebenarnya lebih tinggi daripada yang dilaporkan kerana berdasarkan kadar kebolehjangkitan, satu daripada 10 orang boleh dijangkiti virus itu.

“Malah angka kematian Covid-19 yang dilaporkan di media tidak menggambarkan kadar kematian yang kami lihat,” kata seorang doktor lain.

“Jumlah kematian jauh lebih tinggi. KKM (Kementerian Kesihatan) tidak melaporkan sekiranya pesakit meninggal akibat lain dan ada Covid-19, atau pesakit sudah melepasi tempoh 14 hari dan kemudian mengalami darah beku di paru-paru atau di kaki atau serangan jantung, atau strok,” kata seorang yang lain.

Menurut mereka, kematian akibat Covid-19 berlaku kerana sumber yang terhad.

Hospital juga kekurangan bekalan oksigen sementara unit rawatan rapi sesak kerana sesetengah pesakit mengambil masa yang lama untuk pulih. Bagi sesetengah kes, proses itu memakan masa sehingga berbulan-bulan.

“Kita perlukan lebih banyak peralatan. Kita perlukan lebih banyak tangki oksigen.

“Sejak beberapa minggu lepas kami kekurangan ubat utama yang dipakai untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kami tidak dapat bantuan daripada HQ (kementerian) dan kami sedang hendak mati dalam peperangan ini,” kata seorang doktor.

Menurut seorang doktor, mereka tiada masa untuk mengemukakan kertas cadangan dalam mesyuarat bajet bagi mendapatkan dana membeli tangki oksigen kerana tangki oksigen itu diperlukan sekarang.

Usaha mereka untuk meminta sumbangan juga ditolak oleh pihak berkuasa, tambahnya.

Seorang doktor pelatih pula berkata beliau terpaksa mengendalikan empat hingga lima wad di tingkat yang berlainan semasa bertugas atas panggilan pada waktu malam.

“Kami tidak cukup pakar, perunding, MO (pegawai perubatan), pelatih. Bila kami akan dapat orang yang cukup. Bila orang baharu nak masuk? Ini sangat menekan,” kata seorang doktor teresak-esak.

“Saya doktor pelatih tetapi mereka letak saya jaga empat lima wad, di tingkat yang berlainan. Saya terpaksa kejar ke sana ke sini. Saya harap saya tidak sebabkan sesiapa mati,” kata seorang yang lain.

Dua doktor menceritakan tentang jumlah tenaga kerja yang berkurang sehingga menjejaskan operasi apabila ada doktor, jururawat atau pembantu perubatan terkena jangkitan.

Mereka juga menyelar pihak berkuasa kerana dasar yang lemah serta langkah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang separuh masak.

“Kami masih ingat semasa pilihan raya Sabah. Mereka yang balik dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin, PKP separuh masak, wakil rakyat langgar peraturan. Kami ingat semua itu,” kata seorang doktor.

Semalam KKM mengesan 8,576 lagi kes baharu, menjadikan keseluruhan kes terkumpul sejak pandemik bermula kini 844,870 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

Tutup mulut

Seorang lagi mengeluh tentang arahan tutup mulut yang dikenakan ke atas kakitangan kementerian.

“Saya tahu kawan-kawan saya masih berjuang dan saya rasa apa yang lebih mengecewakan ialah mereka tidak boleh cakap apa-apa,” katanya.

“Sekarang ini setiap kali kami cuba dedahkan (keadaan sebenar), mereka akan beritahu semua pihak dan media bahawa keadaan terkawal, sedangkan kami macam orang nak lemas.”

Seorang lagi doktor bertanya kenapa tidak ada usaha untuk menambah doktor pada masa ini.

“Kenapa sekarang kita ambil guru baru dan bukannya doktor. Sekolah tutup dan kita ambil guru baru?” tanyanya.

Seorang doktor menggesa kerajaan belajar dari negara lain seperti New Zealand, Singapura dan Taiwan yang berjaya melaksanakan strategi mengekang penularan Covid-19.

Hospital di Lembah Klang sejak beberapa bulan lepas sesak selepas kes Covid-19 semakin meningkat dari hari ke hari.

Semalam KKM mengesan 8,576 lagi kes baharu, menjadikan keseluruhan kes terkumpul sejak pandemik bermula kini 844,870 kes.

Daripada jumlah itu 91,272 kes aktif dengan 964 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 452 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu 102 pesakit meninggal dunia semalam, menjadikan angka korban kini 6,260 orang. – 13 Julai, 2021.

Iklan
Iklan