KP kesihatan jangka kes Covid-19 meningkat susulan varian membimbangkan
Iklan
JUMLAH jangkitan harian kes Covid-19 dijangka meningkat pada dua minggu akan datang sebelum kembali stabil, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah selepas negara melaporkan rekod tertinggi 11,097 kes hari ini.
Beliau mengaitkan peningkatan yang dijangka itu dengan varian membimbangkan seperti varian Delta yang menyebar dengan cepat.
“Ada penularan melalui udara yang dapat menyebar (virus) dalam waktu singkat,” katanya.
Beliau juga berkata, jumlah kes yang tinggi dilaporkan hari ini juga disebabkan oleh peningkatan ujian Covid-19.
“Kita melakukan lebih daripada 125,000 ujian. Tetapi ini tidak mencukupi. Kita perlu meningkatkan lagi ujian,” katanya pada sidang media.
Kemudahan makmal di negara ini masih mempunyai kemampuan meningkatkan ujian RT-PCR dari 44% sekarang, tambahnya.
Dr Noor Hisham menambah bahawa hospital-hospital semakin sesak selepas berlaku peningkatan kes Kategori 4 dan 5 yang memerlukan tempoh rawatan yang lebih lama.
Rawatan untuk kes Kategori 4 boleh memakan masa selama 14 hari semantara Kategori 5 boleh sehingga 21 hari.
Beliau menambah, walaupun jumlah kes dalam kategori ini tidak tinggi, kes baharu yang dikesan setiap hari menambah kesesakan di hospital.
Jangkitan Kategori 4 Covid-19 merujuk kepada pesakit yang menderita gejala radang paru-paru dan diberi sokongan oksigen sementara pesakit Kategori 5 mengalami keadaan yang sama dan kegagalan pelbagai organ dalaman. – 13 Julai, 2021.