KKM tingkatkan kapasiti katil di hospital Lembah Klang, kata Adham
Iklan
MENINGKATKAN kapasiti katil untuk kes Covid-19 di Lembah Klang kepada lebih 5,000 adalah antara beberapa langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan bagi menangani wabak tersebut, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Menurutnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga bersetuju meningkatkan peruntukan belanjawan untuk memerangi Covid-19 sebanyak RM100 juta lagi bagi menyalurkan perkhidmatan kesihatan terutama di Lembah Klang di mana kes paling tinggi dicatatkan.
“Perdana menteri meminta 151 katil dan 15 alat bantuan pernafasan ditambah di Kompleks Ibu dan Anak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang,” kata Dr Adham pada sidang media hari ini.
HTAR menjadi tumpuan berita selepas wad hospital sesak susulan peningkatan kes Covid-19 dan katil sementara perlu disediakan di jalan masuk di hadapan Jabatan Kecemasan.
Dr Adham berkata jumlah katil di Selangor akan ditingkatkan dari 3,412 kepada 3,777 sedangkan kapasiti di Kuala Lumpur dan Putrajaya ditingkatkan dari 795 kepada 1,129.
Kementerian juga akan bekerjasama dengan hospital pengajar bagi menguruskan kes Covid-19.
Situasi teruk di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah Maeps di Serdang juga ditangani dengan menukarnya menjadi hospital bagi merawat kes Kategori 4 dan 5 Covid-19 dengan 4,888 katil disediakan.
Maeps yang berdepan masalah kekurangan bekalan oksiden akan menerima alatan ini bagi merawat lebih 1,500 pesakit. Ini akan melibatkan 1,000 tangki oksigen yang dihantar ke pusat berkenaan, kata Dr Adham.
Kapasiti di unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat dari 280 ke 349 katil di Selangor dan dari 90 kepada 117 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kementerian juga meningkatkan tenaga kerja dengan menggerakan 1,190 petugas kesihatan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Sementara itu Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman turut hadir pada sidang media di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam berkata kawasan itu mempunyai kapasiti untuk 1,500 orang pada satu-satu masa.
“Bagaimanapun semalam ada 4,483 pesakit yang harus dinilai. Ini peningkatan pesat,” kata Dr Sha’ari.
Kementerian Kesihatan sudah meningkatkan tenaga kerja di CAC termasuk menggerakkan 85 petugas dari negeri lain dan dari klinik kesihatan kerajaan.
“Kita sudah menurunkan kapasiti rawatan untuk kes kronik di klinik kesihatan kepada 25%. Oleh itu kita boleh mengurangkan kakitangan,” katanya.
Semalam gambar pesakit Covid-19 dilihat beratur di luar perkarangan CAC Stadium Melawati, Shah Alam tular di media sosial. – 13 Julai, 2021.