Iklan

Kematian Covid-19 meningkat, pengeluar keranda bergelut penuhi tempahan

Khoo Gek San3 years ago14th Jul 2021Berita
Covid-19 corona virus funeral 02
Pengeluaran keranda tempatan terjejas disebabkan SOP sepanjang PKP walaupun mendapat tempahan tinggi susulan kematian akibat Covid-19 yang semakin bertambah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.
Iklan

KILANG peti mayat dan keranda berdepan masalan untuk memenuhi peningkatan permintaan ketika jumlah kematian akibat Covid-19 semakin bertambah kerana berdepan masalah kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata pengeluar.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight terpaksa menghentikan sementara tempahan untuk eksport agar dapat memberi fokus kepada memenuhi permintaan tempatan.

Pengeluar keranda berpangkalan di Kedah, Aim Strong Industries Sdn Bhd mengalami kenaikan tempahan ketika kematian Covid-19 mulai meningkat pada akhir April.

“Kami mendapat tempahan kira-kira 1,000 keranda untuk bukan Islam sebulan pada April. Sekarang tempahan meningkat sebanyak 450 unit setiap bulan,” kata pengarahnya Lim Sze Yan.

“Kilang kini mengeluarkan 1,450 keranda sebulan. Permintaan kebanyakannya dari Lembah Klang, di mana kes dan kematian Covid-19 adalah yang tertinggi.

Tahun ini dimulakan dengan tiga kematian pada 1 Januari. Selama empat bulan berikutnya, ia meningkat menjadi dua digit.

Jumlah kematian mula meningkat lagi sejak minggu terakhir April, sehingga mencapai angka 100 untuk pertama kalinya pada 2 Jun dengan 126 kematian.

Angka kematian harian tertinggi adalah 135 pada 8 Julai. Terdapat 6,385 kematian di seluruh negara sejak wabak bermula pada 13 Julai.

Jun lalu dianggap bulan paling banyak menyaksikan kematian hingga kini, dengan 2,374 orang meninggal dunia akibat Covid-19. Bagi 12 hari pertama Julai, terdapat 1,090 kematian.

Lim berkata susulan peningkatan kematian yang mendadak, jenazah masih berada di bilik mayat hospital sehingga keranda tiba, barulah boleh dikebumikan atau dibakar.

Kesan SOP 60% pekerja

Prosedur operasi standard (SOP) di bawah sekatan pergerakan hanya membenarkan 60% pekerja mempengaruhi pengeluaran keranda, kata Lim.

Peraturan lain di bawah SOP yang tidak menyenaraikan kilang pemprosesan kayu sebagai perkhidmatan penting menyebabkan kekurangan bahan mentah dan mempengaruhi rantaian bekalan terhadap pengeluar keranda, tambahnya.

Beliau menganggarkan bekalan bahan mentah kilangnya di Kedah hanya mampu bertahan selama sebulan lagi.

“Oleh itu, kami memberi keutamaan kepada pasaran tempatan dan menangguhkan tempahan dari luar negara. Masih ada tempahan dan permintaan dari Thailand, Brunei, Singapura, Australia dan Hong Kong,” kata Lim.

Sebuah lagi kilang pengeluar keranda di Ipoh, Changann Industries Sdn Bhd, juga menghadapi situasi sama.

Eksekutif pemasaran kanan Aaron Seoh berkata banyak pelanggan bertanya mengenai tempahan keranda mereka.

“Tempahan meningkat dengan ketara sejak Tahun Baru Cina,” katanya, sambil menambah keranda untuk mangsa Covid-19 biasanya bertujuan untuk pembakaran mayat.

Katanya, kekurangan tenaga kerja menyebabkan kilang mengurangkan pengeluaran bulanan dari 600 kepada 500 keranda.

“Paling banyak kami mampu menghasilkan 700 keranda. Sebilangan besar daripadanya dibekalkan ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.

“Buat masa ini, kami juga menangguhkan penghantaran ke Singapura dan sebahagian dari Brunei.”

Seoh berkata Changann belajar daripada PKP pertama untuk menyimpan bahan mentah lebih awal sebelum PKP terbaharu.

“Pada Mac tahun lalu, kilang keranda terpaksa dihentikan kerana kekurangan bahan mentah.

“Jadi, sebelum kerajaan mengumumkan PKP tahun ini, kami sudah menyimpan bahan mentah dan kayu,” kata Seoh.

“Walaupun begitu, stok yang ada hanya mampu bertahan dua bulan lagi.

“Jika selepas dua bulan ini, kilang memproses kayu dan kilang lain yang menghasilkan bahan mentah dalam rantaian bekalan tidak beroperasi sepenuhnya, kami mungkin mengalami kekurangan yang teruk,” kata Seoh.

Pesanan diterima Changann meningkat sebanyak 30% hingga 50% secara berkala, kebanyakannya dari Lembah Klang.

Kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah juga akan menyebabkan kenaikan harga keranda sebanyak 10% hingga 30%, tambah pengeluar. – 14 Julai, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan