Varian Delta dan lonjakan kes di Malaysia
Iklan
SEMALAM jangkitan Covid-19 melonjak tinggi di Malaysia, sekali gus memarakkan lagi kebimbangan penularan varian Delta yang dahsyat dalam komuniti.
Kementerian Kesihatan Malaysia berkata 67 kes varian Delta dikesan malah turut memberi amaran kes akan meningkat lagi kerana varian ini sangat mudah berjangkit dan lebih dahsyat berbanding varian Alpha Covid-19.
Perkara ini diakui Ahli Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada The Malaysian Insight bahawa varian Delta boleh meningkatkan lagi risiko jangkitan semula.
“Menurut data dari England, varian Delta 40-60% lebih mudah tersebar berbanding varian Alpha. Varian Delta juga meningkatkan kadar serangan kedua,” katanya.
Data Kementerian terkini menunjukkan negeri dengan jumlah kes varian Delta terbanyak adalah di Labuan dengan 14 kes, diikuti Pahang 10 kes dan Selangor tujuh kes.
Kecuali Kelantan dan Perak, semua negeri telah mengesan varian Delta.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyebut mengenari perkara ini pada Selasa lepas dengan berkata punca kes terbaharu yang sangat tinggi ini disebabkan varian Delta dan ujian saringan besar-besaran di Selangor dan sekitarnya.
Beliau turut memberi amaran kes tersebut dijangka meningkat dalam dua minggu akan datang sehinggalah 40 peratus penduduk divaksinasi.
Semalam Malaysia melaporkan jumlah harian paling tinggi iaitu sebanyak 11,618, kali pertama sejak Covid-19 menyerang negara ini.
Varian Delta telah menyerang lebih 100 negara. Kali pertama ia ditemui di India pada Disember 2020, ketika itu dikenali sebagai varian India.
Sejak itu varian membimbangkan (VOC) B.1.617.2 menjadi strain dominan di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel.
Varian Delta kini menyumbang kira-kira separuh daripada jangkitan di Amerika Syarikat dan hampir semua jangkitan baharu di UK.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata varian Delta telah menular di seluruh dunia dengan pantas, mendorong lonjakan baharu kes dan juga kematian.
“Delta kini berada di 111 negara dan kami jangka ia akan jadi strain Covid-19 dominan yang menular di seluruh dunia,” katanya.
Bulan lalu, satu kajian di Scotland, diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet menyatakan varian Delta dua kali ganda penyebab seseorang itu dimasukkan ke hospital berbanding varian Alpha atau sebelum ini dikenali sebagai varian Kent/ UK B.1.1.7.
Varian tersebut juga telah menghentikan rancangan beberapa negara untuk melonggarkan sekatan kembali normal.
Dr Chee berkata, berdasarkan kemas kini Epidemiologi mingguan dari WHO (20210706), varian Delta boleh meningkatkan risiko kemasukan ke hospital dan mengurangkan aktiviti peneutralan.
Varian ini menjadi perhatian kerana mutasi utama pada protein lonjakan yang dikenal sebagai L452R, yang digunakan oleh koronavirus untuk melekap pada sel manusia.
Sementara itu, saintis di India kini mengkaji varian Delta Plus, yang dikatakan versi mutasi dari varian asal yang telah menjadi penyebab bencana dahsyat di India.
India telah melaporkan lebih 30 juta kes dan 411,000 kematian.
Menurut laporan, varian ini turut menyumbang kepada peningkatan kes di Indonesia yang melaporkan lebih 40,000 jangkitan harian untuk dua hari berturut-turut.
Penilaian mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian ini berbeza mengikut kajian.
Pada Jun, Public Health England menjelaskan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca dikatakan 96% dan 92% berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital untuk kes dengan varian Delta.
Namun, Pfizer kini sedang berusaha untuk mengadakan suntikan ‘booster’ ketiga bagi meningkatkan kekebalan terhadap varian ini.
Sementara itu, penyelidik Kanada berkata Pfizer-BioNTech hanya 87% berkesan untuk mencegah jangkitan sementara kajian Israel menunjukkan vaksin hanya menawarkan perlindungan 64% terhadap jangkitan tanpa gejala.
Thailand sedang berusaha mencampur dan memadankan vaksin Sinovac dan AstraZeneca untuk meningkatkan perlindungan terhadap varian tersebut, yang dianggap sebagai tindakan berisiko oleh para pengkritik.
Sinovac kini sedang mengkaji keberkesanan vaksin Coronavacnya terhadap varian tersebut. Walaupun belum ada data, namun ia berkata suntikan ‘booster’ mungkin boleh. – 15 Julai, 2021.