Iklan

Subsidi minyak masak tidak sampai ke kumpulan sasar kerana ketirisan, kata peruncit 

Hailey Chung Wee Kye3 years ago15th Jul 2021Berita
Cooking
Harga minyak masak dalam botol lebih mahal berbanding minyak masak bersubsidi yang dipaketkan dalam polibeg satu kilogram.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2021.
Iklan

RANCANGAN Putrajaya untuk meningkatkan subsidi minyak masak yang menyasarkan untuk membantu kumpulan B40 disalahgunakan dan lebih baik diberikan dalam bentuk wang tunai kepada golongan miskin, kata pengusaha kedai runcit dan pengendali pasar raya.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight ketirisan didakwa berlaku yang mana peniaga dan penyeludup dari negara jiran memonopoli bekalan minyak masak bersubsidi, dan menggunakan bekalan yang disediakan untuk isi rumah miskin.

“Walaupun tujuan subsidi minyak adalah untuk komuniti B40, sudah diketahui bahawa kebanyakan restoran turut menggunakan minyak masak bersubsidi,” kata Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin.

“Apabila ada subsidi untuk sesuatu barangan, akan berlaku ketirisan di pasaran.

“Dan kebiasaanya bagi minyak masak, ketirisan akan berlaku sama ada kepada restoran atau negara jiran yang mana minyak masak tidak diberikan subsidi, kata Ameer kepada The Malaysian Insight.

Bulan lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan kerajaan sebanyak RM150 bilion, Pemulih yang mana katanya ia termasuk program kawalan harga minyak masak yang dijual dalam botol. Minyak masak botol 5 kilogram boleh dikenakan harga kawalan agar ia tidak melebihi RM30.

Pakej bantuan Pemulih adalah bagi membantu mengurangkan kesan sekatan pergerakan berikutan pandemik Covid-19. Sekatan pergerakan berkuatkuasa pada 1 Jun dan kini dilanjutkan, manakala perintah kawalan pergerakan diperketatkan dikenakan di Lembah Klang di Selangor dan sebahagian daripada Kuala Lumpur bermula 1 Jun hingga 16 Jun.

Setakat ini hanya minyak masak polibeg 1 kilogram diberikan subsidi.

Ameer berkata paket ini cepat habis di semua 54 premis Mydin di Malaysia, kerana permintaan melebihi bekalan.

“Kuasa membeli rakyat kini lebih rendah kerana pandemik. Pasaran sasar biasanya hanya kepada golongan B40, namun kini golongan M40 sudah menjadi B40.

“Kerana peningkatan harga MSM (Minyak Sawit Mentah), minyak masak dalam botol sangat mahal berbanding dalam polibeg.

“Dan kerana perbezaan harga yang tinggi, orang ramai akan memilih polibeg,” kata Ameer.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan subsidi diberikan terus kepada penerima bersasar dan bukan menerusi produk.

“Satu-satunya cara untuk keluar dari apa yang disebut pemberian subsidi ini kepada penerima yang tidak dimaksudkan adalah dengan tidak memberi subsidi minyak masak.

“Biar jutaan ringgit ini diberikan secara terus kepada yang memerlukan di bawah pakej berbeza.

“Jika kerajaan beri RM500 bantuan tunai kepada golongan memerlukan, mereka boleh menaikkannya kerana wang itu akan pergi terus kepada penerima sepatutnya,” kata Ameer.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga-peniaga Barang-barang Runcit Malaysia Hong Chee Meng berkata kebanyakan ketirisan berlaku di negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Negeri ini adalah Johor, yang mana warga Singapura datang membeli barangan murah, Kelantan yang mana warga Thailand masuk melalui Sungai Golok dan Melaka yang mana warga Indonesia masuk melalui bot.

Tambah Hong terdapat juga pelanggan tetap dari kalangan peniaga tempatan yang membeli minyak masak bersubsidi dalam karton yang mempunyai 24 polibeg bagi setiap karton, yang mana sesetengah peniaga merasakan perlu memberinya.

“Satu karton yang dijual kepada mereka sama seperti merompak 24 keluarga yang sepatutnya menerima minyak bersubsidi,” kata Hong.

“Kerajaan akan menanggung kerugian jika kita menaikkan kuota subsidi untuk minyak masak kerana jumlah subsidi sekarang sebenarnya dikira cukup untuk keperluan di Malaysia.

“Apabila ada lebih banyak subsidi, kami bimbang akan berlaku lebih banyak ketirisan dan sukar dikawal,” tambah Hong yang persatuannya mempunyai sekitar 5,000 ahli terdiri daripada pasar mini dan pemborong.– 15 Julai, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan