Iklan

Tiada kerjasama dengan Perikatan Nasional, kata Pejuang

Marzuki 3
Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya berkata pendaftaran parti itu adalah sebagai parti politik bukan perancangan Perikatan Nasional.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Julai, 2021.
Iklan

KELULUSAN pendaftaran Pejuang sebagai parti politik bukan perancangan Perikatan Nasional (PN), kata timbalan presiden parti baharu itu Marzuki Yahya.

Katanya, Pejuang diluluskan mengikut lunas undang-undang negara dan mengikut proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Itu dakyah politik semata mata untuk mengaburi mata persepsi masyarakat yang kononnya itu sebahagian daripada ‘scheme of things’ PN untuk Pejuang diluluskan.

“Saya nak tegaskan setegas-tegasnya, kelulusan kita bukan usaha ‘scheme of things’ tapi apa yang kita lakukan ikut lunas undang-undang dan proses RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia).

“Kalau kita tak diluluskan mereka langgar peraturan dan undang-undang, bila diluluskan saya lihat tiada sebab mereka tak nak luluskan kita,” kata Marzuki, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Beliau merujuk pada “scheme of things” yang terdengar dalam rakaman audio mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari 2020, yang tersebar selepas percaturan politik yang mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dalam rakaman itu, Muhyiddin didengar mencadangkan tawaran jawatan kerajaan kepada ahli parlimen Umno bagi membantu Bersatu menumbangkan Pakatan Harapan.

Muhyiddin sehingga ini tidak pernah menafikan rakaman audio itu.

RoS pada 8 Julai meluluskan permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik, genap pada hari terakhir tempoh 14 yang diberi oleh mahkamah untuk menteri dalam negeri membuat keputusannya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 14 hari itu selepas Pejuang memohon semakan kehakiman terhadap keputusan RoS menolak permohonan pendaftarannya.

Selepas RoS meluluskan pendaftaran Pejuang, timbul spekulasi kelulusan itu diberikan kerana parti yang diasaskan oleh Dr Mahathir membuat perjanjian dengan Bersatu.

Marzuki menegaskan dakwaan itu tidak berasas kerana PN adalah kerajaan gagal dan tidak boleh diperbaiki.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya berkata kelulusan pendaftaran parti itu mengikut lunas undang-undang dan proses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Julai, 2021.

“PN adalah kerajaan gagal. Kita tak dapat nak baiki, sebab itu dari awal kami dalam Pejuang kata apa yang berlaku hari ini kerana kegagalan PN.

“Kita takkan sokong PN, kita lihat perlu kita cari jalan keluar,” kata Marzuki.

Untuk itu katanya, Pejuang mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Nasional, seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan pada 1969.

“Kita cadang Majlis Pemulihan Negara seumpama Mageran 1969 kerana apa yang berlaku sekarang perkara kita agak tak pernah jangkakan.

“Covid-19 tak akan habis sebulan, dua, akan hidup dengan kita selama- lamanya sebab itu perlu pendekatan baru,” tambahnya.

“Dalam proses nak pulihkan negara dalam politik macam ini takkan berlaku. PN ibarat telur dihujung tanduk yang tunggu masa hancur dan berkecai.”

Beliau bagaimanapun tidak mengulas sama ada Pejuang akan menyokong Ordinan Darurat di Parlimen pada pada 26 Julai ketika Dewan Rakyat bersidang.

“Kita tak menolak, kita nak tengok juga apa dia, Ordinan Darurat sepatutnya kena bentang sebelum darurat tapi dah darurat dia buat baru nak bentang.

“Dah nak habis darurat (baru bentang) logik ke tak? Kalau kita tolak atau sokong macam itu juga,” tambahnya.

Selepas berkali-kali didesak, kerajaan Muhyiddin setuju untuk memanggil sidang Parlimen, yang ditetapkan untuk mesyuarat khas bermula 26 Julai.

Dewan Rakyat akan bersidang lima hari sehingga 2 Ogos sementara Dewan Negara bersidang tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.

Pentadbiran Muhyiddin melaksanakan perintah darurat sejak 11 Januari lalu yang ditetapkan sehingga 1 Ogos ini dengan alasan untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun jumlah penularan terus meningkat dari minggu ke minggu sehingga membawa kepada rekod kes harian tertinggi 13,215 semalam manakala lebih 6,000 meninggal dunia.– 16 Julai, 2021.

Iklan
Iklan