Iklan

Projek pertanian makanan bantu 38 keluarga Orang Asli di Pahang

Aminah Farid3 years ago17th Jul 2021Berita
Kg. teraling (1)
Anak-anak Orang Asli di kampung di Pahang menyiram tanaman makanan mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Julai, 2021.
Iklan

MISI kumpulan kemanusiaan yang bermula tahun lalu untuk mengajar Orang Asli di enam kampung di Pahang bercucuk tanam membuahkan hasil.

Yayasan Keamanan Global (GPF) bertanggungjawab memastikan jaminan makanan 38 keluarga Orang Asli dari enam kampung di Rompin dan Pekan di Pahang dengan mengajar cara berkebun.

Dan kini, keluarga Orang Asli ini sudah menanam lebih 10 jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, kebanyakannya sudah dituai untuk dimakan oleh keluarga mereka.

Rowena, seorang penduduk kampung Orang Asli di Pekan, Pahang berkata, dia kini dapat memberi anak-anaknya makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkhasiat hasil dari program pertanian makanan organisasi untuk masyarakat Jakun di daerah itu.

“Saya berasa gembira kerana mempunyai ladang sayur. Saya tidak lagi perlu keluar membeli sayur-sayuran. Saya hanya boleh pergi ke ladang dan menuai sayur saya sendiri.

“Kami dapat menjimatkan duit,” kata ibu kepada tiga anak yang tinggal di Kampung Cenodong.

Ketua Pegawai Eksekutif GPF Teh Su Thye berkata organisasinya mula mengkaji cabaran yang dihadapi oleh Orang Asli pada Ogos 2020.

“Selepas bekerja dan belajar dengan mereka di ladang perintis, kita secara rasmi memulakan program OA-Eco Farm di enam kampung Orang Asli pada November 2020,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata program itu memberi latihan langsung, subsidi seperti alat dan anak benih serta bimbingan bagi membantu mereka berjaya dalam pertanian makanan.

Teh berkata, latihan itu memberikan tunjuk ajar dan bimbingan secara langsung bagi menangani keperluan serta cabaran setiap kampung.

Orang Asli bukan petani semula jadi sebaliknya mereka adalah pemburu.

Bagaimanapun, dengan penebangan hutan dan pencerobohan tanah yang berterusan di kawasan penempatan mereka, memburu makanan menjadi sukar buat masyarakat mereka serta menyebabkan keluarga dan anak-anak berdepan masalah kekurangan gizi sepanjang tahunan.

Komuniti Orang Asli juga merupakan salah satu komuniti paling miskin yang tinggal di Malaysia.

Bergantung pada kerja “ad-hoc” bagi menjana pendapatan, ramai daripada mereka berusaha bagi memenuhi keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dengan sedikit atau tanpa simpanan, ramai penduduk Orang Asli terpaksa bergantung pada bantuan makanan. Kekurangan makanan yang mencukupi ini bukan hanya mengakibatkan rasa lapar dan ketidakjaminan makanan tetapi juga kekurangan zat makanan terutama dalam kalangan anak-anak.

Beliau menambah, walaupun sebilangan besar keluarga ini menyedari pentingnya pertanian makanan, tidak ramai yang berjaya kerana ramai daripada mereka berdepan cabaran menakutkan yang menghalang mereka untuk bertani dengan jayanya.

“Masalah utama adalah tanah kering dan padat yang sering berlaku disebabkan oleh musim kemarau panjang di daerah Rompin dan Pekan di Pahang,” katanya. – 17 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan