PKPD di Selangor tamat tengah malam ini, kata TPM
Iklan
PERINTAH kawalan pergerakan diperketatkan (MCO) melibatkan 34 mukim di Selangor akan tamat pada tengah malam ini, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PKPD itu telah dikuat kuasa sejak 3 Julai lalu.
Keputusan menarik semula PKPD itu melibatkan 34 mukim dalam semua daerah di Selangor meliputi Petaling, Kuala Langat, Gombak, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, dan Hulu Langat.
Berdasarkan situasi terkini di lapan daerah itu, Ismail Sabri berkata, kementerian kesihatan telah bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim yang terbabit.
Bagaimanapun, katanya, beberapa lokaliti yang disasarkan di Selangor akan dilanjutkan tempoh PKPD untuk dua minggu lagi bermula esok sampai 31 Julai.
Senarai lokaliti yang dilanjutkan PKPD seperti berikut:
1. Damai Apartment, PJS 8, Mukim Damansara, Petaling di Selangor.
2. Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Hulu Langat di Selangor.
3. Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang di Selangor.
4. Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak di Selangor.
Hari ini Malaysia terus melaporkan jumlah lima angka kes baharu Covid-19 ketika negara melaporkan 12,541 kes dalam 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata Selangor terus menjadi negeri paling banyak kes harian dengan 5,512 kes, diikuti Negeri Sembilan sebanyak 1,619 kes dan Kuala Lumpur dengan 1,542 kes.
Berikut adalah kes Covid-19 mengikut daerah di Selangor:
1. Gombak - 1,066.
2. Petaling - 2,104.
3. Klang - 1,169.
4. Kuala Langat - 234.
5. Hulu Langat - 977.
6. Sepang - 210.
7. Hulu Selangor - 179.
8. Kuala Selangor - 160.
9. Sabak Bernam - 14. – 16 Julai, 2021.