Konflik Israel-Palestin tunjuk sifat sebenar demokrasi cara Barat, kata Dr Mahathir
Iklan
KONFLIK Israel-Palestin menunjukkan wajah sebenar demokrasi dicanang oleh Barat dan penyokong dunia bebas, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata konflik tersebut menjelaskan lagi perangai munafik, sikap pilih kasih dan diplomasi berat sebelah negara-negara berkaitan.
“Keamanan, kebebasan dan keadilan ini mantera yang selalu dipakai masyarakat antarabangsa dan kuasa besar untuk pengaruhi perubahan rejim di Palestin,” kata ahli Parlimen Langkawi itu ketika merasmikan Justice for Palestine Action Front (JustPalestine).
“Kita tak boleh berdiam diri.
“Sebagai manusia, kita ada tanggungjawab untuk suarakan pendirian dan rasa jijik kita atas jenayah terhadap kemanusiaan oleh Israel ini, yang kebal sejak sekian lama.
“Kita perlu secara aktif sokong gerakan Justice for Palestine,” katanya yang terkenal sebagai pengkritik Israel paling lantang sejak sekian lama.
Katanya sudah lebih 73 tahun rakyat Palestin menderita dan berhak kembali ke tanah air mereka.
Dr Mahathir berkata enam juta orang Palestin kini dipaksa tinggal di kem pelarian di Jordan, Lubnan dan Syria selama beberapa generasi tanpa ada harapan kembali.
Sambil membandingkan apartheid di Afrika Selatan, beliau berkata penjajah tinggalkan legasi dengan menjadikan kaum minoriti sebagai pemegang kuasa bagi mengganti dan menekan penduduk majoriti.
“Jenayah apartheid di Palestin oleh Israel sama macam negara-negara besar yang sokong rejim haram,” katanya.
“Sejak awal, usaha untuk sembunyikan jenayah Israel dan penyokongnya dibuat menggunakan maklumat yang salah, terutama oleh media berpengaruh yang menyokong negara-negara besar ini,” tambahnya.
Dr Mahathir berkata salah satu agenda disebarkan ialah Israel dibentuk di atas tanah tanpa rakyat.
“Walaupun ada revolusi maklumat, penyebaran media baharu berjaya bongkar propaganda dan maklumat salah, tetapi pelakunya juga cekap guna media baharu untuk sebar maklumat yang kononnya tindakan mereka adalah tindakan membela diri terhadap provokasi Palestin.” – 18 Julai, 2021.