Iklan

Aidiladha kedua Covid-19, rakyat Malaysia berkorban lagi

Aminah Farid3 years ago19th Jul 2021Berita
49931387827 8131e3c06a c
Aidiladha 2021 sekali lagi disambut dengan mengorbankan kemeriahaan perayaan susulan lonjakan kes Covid-19 yang melanda negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.
Iklan

TAHUN-TAHUN sebelumnya, lebih 30,000 jemaah Malaysia berada di Mekah untuk mengerjakan haji dan menyambut Aidiladha, sementara penganut Islam lain sibuk bersiap-sedia untuk menunaikan ibadah korban dan meraikannya bersama keluarga dan sahabat handai.

Tetapi tahun ini, hanya 263 jemaah Malaysia dibenarkan mengerjakan haji, ketika seluruh rakyat Malaysia terpaksa berkurung dalam rumah dan tidak dapat meraikan kemeriahan Aidiladha seperti kebiasaan.

Aidiladha diraikan setiap tahun oleh penganut agama Islam untuk memperingati kisah Nabi Ibrahim yang rela “mengorbankan” anaknya atas perintah Allah, yang kemudiannya menggantikan “korban anak” itu dengan kibas, dan bermulalah perayaan utama umat Islam, Aidiladha dan ibadah korban.

Aidiladha dan Aidilfitri dianggap dua perayaan utama dalam kalendar Islam.

Bagi pasangan pengantin baharu, Daniel Teoh, 30, dan Nur Hafizah,30, yang baru berkahwin beberapa bulan lepas, Aidiladha pertama mereka sepatutnya diraikan di kampung halaman di Rantau Panjang, Kelantan jika pandemik tidak meledak.

Sebaliknya, mereka kini berkorban menyambut Aidiladha pertama sebagai pengantin baharu di kediaman sendiri di Shah Alam, Selangor.

“Kami akan pergi ke pasar untuk beli daging dan buat rendang. Untuk meriahkan mood beraya, kami beli baju Melayu dan baju kurung baru,” kata Daniel.

“Warna hitam tema tahun ini jadi kami akan makan rendang memakai baju baru  hitam. Ini sesuatu yang memang kami tunggu kerana kami hanya pakai baju pengantin untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri lepas,” tambahnya.

Pasangan pengantin baharu Daniel Teoh dan Nur Hafizah sepatutnya meraikan Aidiladha pertama mereka di kampung halaman di Rantau Panjang, Kelantan jika pandemik tidak meledak. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.

Jelasnya, jika tidak kerana sekatan perjalanan yang berkuatkuasa, mereka akan dapat menyaksikan ibadah korban dilakukan di Rantau Panjang, yang dilakukan hasil simpanan penduduk kampung sepanjang tahun.

“Sepanjang minggu kita dapat tengok penduduk kampung makan daging lembu yang sama, dan juga berkongsi daging dengan mereka yang tak mampu,” katanya.

“Tetapi, tahun ini semua itu tak boleh. Jadi, satu-satunya korban yang kami dapat buat adalah dengan tidak balik kampung di Kelantan dan duduk di rumah sahaja,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Daniel berkata kedua-dua mereka tetap bersyukur kerana masih sihat dan dapat bersama-sama menempuh situasi yang mencabar sekarang.

Sejak wabak Covid-19 mula meledak di Malaysia tahun lepas, negara merekodkan 916,561 kes positif Covid-19 dan 6,866 orang sudah terkorban.

Pelonjakan kes semasa turut menambah beban kepada sistem kesihatan awam dan hospital walaupun pelbagai versi sekatan pergerakan dikuatkuasa.

Bagi Hadi Azmi, 33, dan Fateha Hasan, 33, pula pandemik membuatkan mereka hampir terlupa kepada Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang.

“Jika awak tak tanya saya, saya jujurnya memang tak terfikir tentang Aidiladha,” kata Hadi yang bekerja sebagai wartawan dan menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Tahun lepas mereka meraikannya bersama keluarga terdekat, tetapi tahun ini kata Hadi, beliau dan isteri hanya akan bersembahyang raya dan tidak ke mana-mana.

“Saya dan isteri hanya akan bersembahyang di pagi raya, itu sahaja. Kami dapat tarikh suntikan vaksin dekat-dekat dengan Raya, jadi kami hanya berehat di rumah sahaja,” katanya.

Bagi Hadi Azmi dan Fateha Hasan pula pandemik membuatkan mereka hampir terlupa kepada Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang.  – Gambar The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.

Tambahnya, yang paling menyedihkan adalah ibu bapanya sekali lagi tidak dapat beraya bersama cucu-cucu mereka.

“Mereka duduk dekat sahaja, tetapi keluarga saya tak nak ambil risiko disebabkan varian delta yang merbahaya itu.”

“Saya memang berharap tak seperti Hari Raya (Aidilfitri), tidak ada sesiapa yang cuba merentas negeri secara haram. Kita semua perlu berkorban. Kita tak boleh pentingkan diri sendiri. Jadi, Aidiladha saya sama sahaja seperti hari lain sepanjang sekatan pergerakan ini.”

Sementara itu, Nadia Amir, 29, memberitahu The Malaysian Insight yang tahun lepas beliau sekeluarga meraikan Aidiladha di rumah neneknya di Shah Alam memandangkan ketika itu perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berkuatkuasa.

“Saya masih ingat kami dapat meneruskan tradisi tahunan keluarga dengan tidur bermalam di rumah nenek di Shah Alam,” kata Nadia yang bekerja sebagai pengurus di syarikat e-dagang.

“Walaupun tak semua ahli keluarga dapat berada di sana pada masa yang sama (ada had hanya 20 orang serumah), keluarga saya antara yang bernasib baik dapat bermalam di rumah nenek,” katanya, mengimbau memori sembahyang raya berjemaah dan menjamu hidangan enak di pagi Aidiladha.

“Kami siapkan rendang, nasi impit, ketupat dan serunding. Sepupu, adik beradik, makcik dan pakcik bersama-sama memasaknya dan makan sekali, gotong royong buat sarapan.”

“Kami sempat juga bersembahyang Aidiladha berjemaah, pakcik saya bagi khutbah raya memakai tongkat arwah datuk,” katanya lagi.

Bagaimanapun, tahun ini, Nadia akan meraikan Aidiladha di Ampang, Kuala Lumpur bersama-sama ibu bapa dan adik beradiknya sahaja.

Menurutnya, memandangkan keluarga besar tidak dapat berkumpul, mereka sudah mengaturkan sesi perjumpaan virtual untuk beraya bersama-sama.

“Pakcik saya merancang buat perjumpaan di Zoom sahaja, kami akan bersembahyang bersama-sama dan berborak-borak sambil pakai baju raya secara virtual sahaja,” katanya.

Azielia Anne, seorang pegawai bank yang menetap di Subang Jaya, Selangor pula berkata Aidiladha tahun ini barangkali perayaan yang sunyi di rumah masing-masing. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.

Tambahnya, walaupun menyedihkan sekatan pergerakan penuh memisahkan keluarga besarnya terutama pada Aidiladha, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan mereka kerana keselamatan dan kesihatan semua adalah keutamaan terpenting.

“Buat masa sekarang, kami hanya merancang buat perjumpaan virtual dan masing-masing saling hantar rendang yang dimasak, bertukar-tukar juadah,” katanya.

Azielia Anne, seorang pegawai bank berusia 28 tahun yang menetap di Subang Jaya, Selangor pula berkata Aidiladha tahun ini barangkali perayaan yang sunyi di rumah masing-masing.

Katanya, keluarganya akan menyambut Aidiladha di rumah dan mungkin memasak juadah raya dan membuat panggilan zoom kepada ahli keluarga yang lain.

“Memang tak bincang apa-apa lagi, tapi saya rasa semua dah terbiasa duduk di rumah sekarang, jadi mungkin kami sekeluarga hanya tengok Netflix sahaja,” katanya.

“Kami tinggal serumah tetapi saya dan adik beradik duduk di tingkat berlainan, jadi kami akan berkumpul untuk beraya,” katanya.

Tambahnya, tahun lepas, beliau sekeluarga menyambut Aidiladha di kompleks beli belah, bagaimanapun disebabkan hampir semua tempat awam di Selangor masih ditutup sekarang, mungkin keluarganya tidak keluar dan hanya duduk di rumah sahaja. – 19 Julai, 2021.

Iklan
Iklan