Iklan

Mempermain demokrasi berparlimen

Hasmi Hashim3 years ago19th Jul 2021Suara
Iklan

KATA “demokrasi” juga boleh digunakan untuk mewujudkan suasana yang sama sekali bertentangan dengan demokrasi.

Ada dua negara, sekurang-kurangnya yang dengan begitu yakin memakai kata “demokrasi”, sedangkan tidak demokratik sama sekali.

Pertama, yang paling jelas hari ini adalah Korea Utara. Nama penuh negara berkenaan ialah Republik Demokratik Rakyat Korea.

Meski di situ digunakan istilah “demokratik”, sedangkan kita tahu, negara berkenaan merupakan antara negara dengan pemerintahan diktator dan paling kejam, yang masih tersisa di dunia.

Di sana, pilihan raya, bahkan parlimennya dikawal sepenuhnya oleh hanya seorang manusia: Kim Jong-un.

Kata “demokratik” hanyalah ibarat hiasan yang ditempel, sebagai helah untuk menunjukkan bahawa kononnya pemerintahnya berasaskan sistem demokrasi.

Strategi sedemikian memang sebahagian daripada taktik kelompok Komunis antarabangsa, terutama selepas Perang Dunia Kedua.

Mereka sedar, demokrasi adalah suatu pemikiran, atau mungkin juga boleh disebut sebagai “ideologi” yang tidak mungkin dapat dikalahkan — berkembang dan semakin mantap diamalkan di banyak negara di dunia. 

Demokrasi itu sukar sekali disangkal bahawa ia paling dekat dengan fitrah manusia yang mahukan kebebasan, keadilan dan suara mereka didengar.

Oleh itu, kata “demokrasi” pun dirampas dengan tujuan mengelirukan rakyat sendiri; di samping, mungkin juga untuk mengelirukan masyarakat antarabangsa.

Jerman Timur, selepas Perang 1949, yakni ketika dikawal oleh Soviet Union, juga menamakan negara mereka sebagai “Republik Demokratik Jerman” (GDR).

Tiga belahan lain yang sepanjang empat tahun sebelumnya dikawal negara bersekutu — Amerika Syarikat, Britain dan Perancis — membentuk sebuah kesatuan negara yang dikenali atau diberi julukan “Jerman Barat”.

Di Jerman Barat — tanpa nama “demokrasi” — ternyata lebih demokratik, mengamal sistem ekonomi terbuka dan masyarakat yang bebas.

Sejak itu juga, kenyataannya GDR semakin mundur, dan tiada kebebasan sivil (termasuk demokrasi); maka semakin ramai rakyat dari Jerman Timur lari atau mengungsi ke Jerman Barat.

Dua contoh tadi, sama ada Koreo Utara hari ini — yang dahulunya didukung China dan juga Soviet Union — atau, dalam sejarah dunia di GDR, boleh memandu kita mengenai istilah “demokrasi”, atau “demokrat” juga boleh ditunggangi untuk tidak mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi sebutir habuk sekalipun.

Sistem memang boleh dimanipulasi. Maka tidak begitu menghairankan, bagaimana sistem Demokrasi Berparlimen seperti di negara ini juga tiada jaminan bahawa demokrasi yang sesungguhnya dapat berjalan dengan baik dan jujur. 

Ada tanda-tanda jelas bagaimana sistem demokrasi — termasuklah demokrasi berparlimen — telah dimanipulasi, untuk kepentingan pemerintah.

Bayangkan sahaja, bagaimana sesebuah sidang parlimen, sekarang mula hendak dijadikan sebagai “sesi taklimat”.

Parlimen dalam makna hakikinya adalah sebuah tempat untuk perbincangan dan membuat dasar atau undang-undang bagi sesebuah negara. Perbincangan itu melihat ‘pertembungan’ dua hala: kerajaan dan pembangkang.

Parlimen bukan tempat untuk pihak kerajaan menjadikan seakan dewan kuliah atau bilik darjah.

Di sana, pihak kerajaan diibaratkan sebagai pensyarah atau guru, dan pembangkang menjadi murid-muridnya. Sekiranya keadaan sebegitu terjadi, maknanya konsep asas parlimen dan demokrasi itu telah diherotkan.

Sejak Pengisytiharan Darurat pada Januari 2021 — yang kononnya dikatakan sebagai “darurat kesihatan” — peranan parlimen Malaysia telah dilumpuhkan.

Bahkan darurat itu sendiri tidak mendapat persetujuan parlimen, dan bolehlah dikatakan sebagai keputusan Perdana Menteri sahaja.

Keadaan sebegini sebenarnya mengheret sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini ke arah tebing kehancuran. Wabak Covid-19 juga dijadikan alasan untuk menghadkan jumlah kehadiran ahli parlimen, sedangkan kesemua 222 ahli-ahli parlimen dipilih oleh rakyat.

Tidak masuk akal, ahli parlimen di Utara misalnya lebih tinggi kedudukannya berbanding ahli parlimen dari Pantai Timur.

Dalam kata lain, sekiranya peranan parlimen boleh dipermainkan demi mengekalkan kuasa pihak yang dipertikai keabsahannya sebagai kerajaan, sistem lain yang juga berdiri atas semangat demokrasi, termasuk pilihan raya juga terdedah untuk dieksploitasi.

Tidak ada jaminan sama-sekali bahawa pilihan raya yang bakal dilaksanakan oleh jenis kerajaan sekarang adalah pilihan raya yang adil dan bersih.

Kalau mereka boleh melakukan helah untuk menubuhkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat, kemudian mengherot serta mencabul peranan parlimen, maka adalah munasabah bahawa mereka juga akan memanipulasi sistem pilihan raya itu nanti.

Dalam bahasa mudah, mereka akan menipu — dengan apa cara sekalipun — untuk menang di dalam pilihan raya.

Sudah tentu kerajaan hari ini akan berusaha sedaya upaya untuk menutup kecurangan yang telah dilakukan, meski pun dengan kecurangan baharu.

Kalau tidak dilakukan penipuan, helah atau kecurangan, mereka bimbang akan terbongkarlah kecurangan lama mereka sejak 18 bulan berkuasa.

Keadaan ini benar-benar mengingatkan kita kata bidalan lama, “bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru”.

Sepertimana strategi rejim Komunis sebelum runtuhnya Tembok Berlin, mereka sangat sedar bahawa “bangkai gajah” — atau kebusukan yang dilakukan itu — perlu ditutup dengan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar “daun nyiru”.

Di Korea Utara atau Jerman Timur, ‘bangkai’ penindasan ditutup dengan nama “demokratik”. Malahan secara fizikal, didirikan tembok batu di Berlin untuk menutup mata rakyat mereka sendiri terhadap apa yang sedang terjadi di seberang tembok atau di dunia luar.

Ya, apabila daun nyiru tidak boleh menutup bangkai gajah, maka simenkan atau naikkan batu-bata. Malangnya, setebal dan sebenar apa pun simen yang mahu menutup kecurangan demokrasi, akhirnya pada 1987, tembok penutup kebusukan itu diumum diruntuhkan.

Bermula pada 1990, akhirnya kerja meruntuhkan Tembok Berlin selesai selama empat tahun. Sayangnya, di bawah tembok itu, sebenarnya telah tertanam cerita penderitaan yang panjang, sekitar setengah abad lamanya yang mula berlegar dan tidak pernah dapat ditahan-tahan.

Sepertimana juga pandemik Covid-19 yang dijangka boleh berakhir, tetapi pencemaran demokrasi — juga atas nama demokrasi — adalah cabaran yang lebih besar; yang perlu disembuhkan segera. 

Cukup-cukuplah kita terdedah dengan cerita kematian keluarga akibat Covid-19, dan kita tidak mahu lagi mendengar cerita pedih dan derita rakyat akibat kerajaan yang memakai demokrasi untuk membunuh demokrasi. – 19 Julai, 2021.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan