Iklan

Hubungan dagang lebih kukuh, pasaran baharu lonjak jualan minyak sawit mentah

Khoo Gek San3 years ago19th Jul 2021Berita
49933420901 9d5c71a4cb o
Memandangkan kebanyakan pekebun kecil dalam kumpulan B40, kemerosotan harga minyak sawit sebelum ini memberikan beban kewangan kepada mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.
Iklan

MEMPERBAHARUI dan memperkukuhkan hubungan dengan pasaran eksport tradisional minyak sawit mentah (CPO) selain mencari pembeli baharu merangsang jualan produk Malaysia itu, kata Wee Jeck Seng.

Timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata keputusan kerajaan Perikatan Nasional untuk mengukuhkan hubungan dengan China dan India menyaksikan kedua-dua pembeli tradisional itu menambah lagi pembelian mereka dari Malaysia.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga membuka pasaran baharu minyak sawit di Turki, yang akan membawa kepada pembukaan pasaran di Greece dan negara Balkan, dan meningkatkan jualan ke Arab Saudi.

“Mengekalkan pasaran asal sangat penting. Kita perlu mengekalkan pasaran asal dan membuka pasaran baharu,” kata ahli Parlimen Tanjung Piai itu kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Selain mengukuhkan dan membuka pasaran baharu, Malaysia juga memberi 100% pengecualian cukai eksport CPO bagi tempoh enam bulan, dari Julai hingga Disember tahun lalu.

“Harga kita setanding dengan Indonesia, pengeksport terbesar minyak sawit. Kesannya ialah banyak negara tertarik untuk membeli minyak sawit dari Malaysia,” katanya.

Pasaran eksport tradisional Malaysia adalah China, India, Pakistan, Filipina dan Kesatuan Eropah.

Harga CPO naik paling tinggi dalam sejarah negara pada RM4,773 per tan metrik pada 18 Mei tahun ini. Ia lonjakan daripada RM1,800 per tan metrik pada Disember 2018.

Peningkatan harga itu membebaskan syarikat minyak sawit dan pekebun kecil daripada beban kewangan.

Wee berkata pekebun kecil mengalami kerugian apabila harga CPO terus jatuh pada 2018 dan 2019.

Ratusan pemilik kebun menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana kejatuhan harga minyak sawit.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Wee Jeck Seng berkata kerajaan berusaha membuka pasaran baharu minyak sawit termasuk mempromosikan minyak sawit di Turki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga berulang kali menyalahkan kejatuhan harga itu kerana pembatalan beberapa projek dengan China yang dilakukan kerajaan PH.

Menteri industri utama pada masa itu Teresa Kok bagaimanapun berkata pembatalan urus niaga dengan China tidak relevan dengan harga minyak sawit.

Beliau berkata kira-kira 60% daripada minyak sawit China diimport dari Indonesia, sementara hanya 30% dari Malaysia kerana minyak sawit Indonesia lebih murah.

Pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada November 2019, kebanyakan pengundi yang juga pekebun kecil sawit, mengunding Wee yang juga calon Barisan Nasional (BN) untuk memberi “pengajaran” kepada PH.

“Memandangkan kebanyakan pekebun kecil dalam kumpulan B40, kemerosotan harga minyak sawit memberikan beban kewangan kepada mereka,” kata Wee.

Beliau berkata kerajaan PN serta merta melakukan tindakan balas apabila mengambil alih kerajaan pada Mac 2020.

Menurut data kementerian, purata harga CPO ialah RM2,232 per tan metrik pada 2018, RM2,079 per tan metrik pada 2019 dan RM2,685 per tan metrik pada 2020.

Harga niaga hadapan CPO untuk Julai ialah RM4,500 per tan metrik, dan penanda aras tiga bulan pada RM4,513 per tan metrik, adalah rekod tertinggi.

Pasaran dan sistem baharu untuk pekebun kecil

Wee berkata usaha kerajaan untuk membuka pasaran baharu minyak sawit termasuk mempromosikan minyak sawit di Turki.

Matlamatnya ialah menjadikan Turki sebagai hab dan meningkatkan eksport minyak sawit sebanyak 300,000 tan metrik. Menerusi Turki, eksport akan membawa kepada Greece dan Balkan, katanya.

Beliau berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi pada Mac tahun ini juga meningkatkan perdagangan minyak sawit.

Sebagai tambahan, kementerian juga fokus kepada meluaskan pasaran di Afrika, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. – 19 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan