Vaksinasi jumpa terus hanya bagi yang belum dapat janji temu, kata CITF
Iklan
PEMBERIAN vaksin secara jumpa terus atau walk-in hanya dibuka bagi golongan yang tercicir atau belum mendapat tarikh janji temu, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
CITF menjelaskan demikian bagi mengulas mesej yang tersebar di media sosial, mendakwa semua penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur boleh menerima suntikan vaksin secara jumpa terus mulai 1 Ogos.
Badan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata individu yang sudah menerima janji temu vaksin perlu hadir pada pada tarikh dan lokasi PPV yang ditetapkan.
“Contoh golongan yang belum mendapat janji temu ini adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan, seperti diterangkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada 16 Julai lalu,” katanya.
Khairy ketika itu berkata individu dewasa yang tidak direkodkan sebagai penduduk Selangor dan Kuala Lumpur, seperti mereka yang tidak mempunyai dokumen dan sebagainya, akan dibenar mendapatkan suntikan vaksin selepas 1 Ogos.
Kenyataan CITF seterusnya menyebut individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.
Bagi individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan berbuat demikian, juga digalakkan mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin.
PPV yang akan beroperasi secara jumpa terus akan dimaklumkan kelak, dan PPV sedia ada tidak semestinya akan dibuka bagi inisiatif tersebut, katanya.
Individu yang telah menerima janji temu vaksin digesa supaya untuk hadir pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan.
“Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes Covid-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin.
Buat masa ini, hanya warga emas di Lembah Klang yang belum menerima vaksin dibenar mendapatkan suntikan secara jumpa terus tanpa memerlukan janji temu. – 19 Julai, 2021.