Kes aktif Covid-19 hari ini paling tinggi dengan 128,997, kata KP Kesihatan
Iklan
KES aktif terus meningkat hari ini dengan 128,997 orang kini dijangkiti Covid-19 di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Jumlah terbaharu ini dilaporkan hanya sehari selepas rekod semalam sebanyak 124,593.
Jumlah kematian akibat Covid-19 hari ini menurun dengan 129 orang dilaporkan meninggal dunia dalam 24 jam terakhir ini berbanding 153 kematian seperti dilaporkan semalam.
Kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 menjadi 7,148 orang.
13 kes maut sebelum tiba hospital, selebihnya meninggal dunia di hospital.
Mengikut negeri, kes kematian di Selangor masih paling tinggi iaitu dengan 61 kes, diikuti Kedah dengan 14 dan Kuala Lumpur 11 kematian.
Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing melaporkan 10 kes, manakala Johor melaporkan sembilan kematian sementara Sarawak dan Terengganu masing-masing tiga kes. Sabah, Pulau Pinang dan Perak melaporkan dua kematian manakala Labuan dan Kelantan masing-masing melaporkan satu.
Sementara itu, 915 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara, di mana 435 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata, kes baharu hari ini terus mengatasi kes pulih dengan 10,972 jangkitan dilaporkan berbanding kes yang sudah sembuh sebanyak 6,439.
Ini menjadikan kes kumulatif sebanyak 927,533 sementara jumlah kes yang sudah pulih pula sebanyak 791,388.
Dr Noor Hisham berkata, 57.8% atau 6,337 kes hari ini berada dalam Kategori 1 tidak gejala sementara 4,464 atau 40.7% dalam Kategori 2 bergejala ringan.
Terdapat 103 kes atau 0.9% dalam Kategori 3 dengan radang paru-paru, 42 atau 0.4% dalam Kategori 4, radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dan 26 atau 0.2% dalam kategori 5 keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Tambahnya, walaupun hanya terdapat 171 kes dalam Kategori 3, 4 dan 5 yang merangkumi 1.5% daripada jumlah hari ini, namun ia tidak boleh dipandang ringan kerana perlukan masa yang panjang untuk merawatnya.
Dr Noor Hisham berkata, perlukan lebih kurang 21 hari untuk merawat kes Kategori 5 manakala 14 hari untuk merawat pesakit Kategori 4.
Pesakit yang berisiko tinggi harus dipantau dan dirawat di hospital, katanya.
“Tempoh rawatan yang lama di wad dan ICU untuk kes-kes seperti itu kerana kapasiti terhad disebabkan katil penuh dan sesak. Ini akan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan terutama di ICU, hospital dan PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19), ”katanya. – 19 Julai, 2021.