Vaksinasi cegah kesan lebih teruk Covid-19 terhadap warga emas, kata KP kesihatan
Iklan
VAKSINANI dapat cegah gejala teruk Covid-19 buat warga emas kerana jumlah kes dalam Kategori 4 dan 5 yang melibatkan golongan itu menurun sejak awal Jun, kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data dari Hospital Sungai Buloh, jumlah kes Kategori 4 dan 5 di kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas telah menurun sejak minggu bermula 6 Jun.
Jumlah kes positif antara warga emas berumur antara 60 hingga 79 tahun menurun daripada 172 kepada 119 ketika ini.
Bagi yang berusia atas 80 tahun, tidak ada perubahan ketara dicatat kerana kes-kes tersebut stabil antara kosong dan tiga untuk beberapa minggu kebelakangan ini.
“Penurunan ini selari dengan bermulanya Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada April 2021 dan tanda-tanda awal keberkesanannya telah mula nampak sejak minggu Epidemiologi ke-22 (30 Mei-6 Jun),” katanya.
Dr Noor Hisham turut menasihatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas di sekitar Lembah Klang dan Selangor yang belum mendapat janji temu untuk ke pusat vaksinasi supaya dapat divaksinasi pada hari yang sama.
Katanya, pusat vaksinasi akan terus beroperasi sepanjang minggu termasuk pada hari cuti umum.
Sementara itu, dalam catatan berasingan di Facebook, Dr Noor Hisham berkata 3,465 daripada 245,983 petugas kesihatan yang telah diberi vaksin sepenuhnya telah dijangkiti Covid-19.
Bagaimanapun, hanya tiga kes dalam Kategori 3 dan 4 dilaporkan, tidak ada kes dalam Kategori 5.
Sebanyak 67.2% atau 2,327 kes dalam Kategori 2 manakala 1,132 (37.6%) dalam Kategori 1.
“Vaksin selamatkan nyawa dan kita boleh belajar untuk hidup bersama Covid-19,” katanya.
Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Kategori 1 adalah kes positif tanpa gejala, 2 adalah kes positif dengan gejala ringan, 3 adalah kes positif dengan radang paru-paru.
Kategori 4 merujuk kepada pesakit yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan sokongan oksigen sementara pesakit Kategori 5 untuk keadaan yang sama selain ada kerosakan pada organ seperti paru-paru, hati dan jantung. – 19 Julai, 2021.