Pengusaha perabot digesa jaga pekerja atau berdepan sekatan AS
Iklan
INDUSTRI perabot perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan yang dibuat pengilang sarung tangan dan menyediakan kemudahan yang baik serta menjaga kebajikan pekerja mereka, kata Wee Jeck Seng.
Timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata industri perabot akan menerima kesan sekiranya pasaran utama mereka – Amerika Syarikat dan Eropah – menyekat produk mereka atas bukti buruh paksa, sebagaimana yang berlaku kepada pengeluar sarung tangan Malaysia.
Katanya industri perabot perlu memastikan pekerja asing mereka tidak dilayan seperti hamba dan perlu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) bagi pembinaan asrama kepada pekerja asing.
Tempahan eksport perabot Malaysia meningkat dari tahun ke tahun, dengan peningkatan tempahan dari Amerika Syarikat dan Eropah.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa pertumbuhan jualan eksport akan terjejas apabila kilang perabot dikesan tidak menyediakan perumahan yang selesa kepada pekerjanya.
“Negara luar memberi perhatian kepada berita Malaysia. Walaupun kilang sarung tangan menjana pendaoatan yang besar, asrama pekerja mereka dikatakan tidak mematuhi standard minimum,” kata Wee kepada The Malaysian Insight.
Peraturan baharu bagi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2019) bermula pada 1 September tahun lalu.
“Selepas Akta 446 berkuat kuasa, pengusaha perabot membincangkan sama ada untik membina asrama kepada pekerja asing yang sudah dilaksanakan di Singapura.
“Peraturan asrama untuk pekerja asing sebenarnya sudah lama wujud, namun tiada penguatkuasaan yang ketat,” katanya yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai.
Beliau berkata pekerja asing perlu disediakan asrama yang memenuhi standard keselamatan dan faedah.
Kementerian Sumber Manusia tahun lalu mengambil tindakan terhadap sebuah kilang perabot selepas 321 pekerja asingnya didapati tinggal bersesak di asrama mereka di Muar, Johor.
Tiada katil disediakan di asrama berkenaan. Ia sesak tanpa peredaran udara dan hanya terdapat ruang kecil untuk memasak. Majikannya dikenakan tindakan kerana melanggar Akta 446. – 20 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.