Iklan

Longgar SOP hanya selepas ramai divaksin, kata pakar kesihatan

Ragananthini Vethasalam3 years ago21st Jul 2021Berita
51143525071 16eb4e6b7a c
Masa terbaik untuk melonggarkan sekatan adalah pada akhir Ogos iaitu Hari Merdeka, kata Ahli Epidemiologi Universiti Malaya dan Doktor Kesihatan Awam Prof Dr Sanjay Rampal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai 2021.
Iklan

ADALAH tidak wajar untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebelum sebahagian besar penduduk di negara ini divaksinasi sepenuhnya, kata pakar kesihatan.

Data vaksinasi terkini menunjukkan 14.3% populasi atau 4.67 juta orang telah divaksinasi sepenuhnya dengan dua dos.

Namun, pakar perubatan menyarankan supaya 40% hingga 50% penduduk di negara ini perlu diberi vaksin terlebih dulu sebelum Putrajaya memutuskan untuk melonggarkan sekatan.

Ahli epidemiologi Universiti Malaya dan doktor kesihatan awam Prof Dr Sanjay Rampal berkata masa terbaik untuk melonggarkan sekatan adalah pada akhir Ogos iaitu Hari Merdeka.

“Pada masa itu, vaksinasi dan penularan semasa kemungkinan akan menurunkan populasi golongan terjejas kepada kurang dari 50%,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, langkah terbaik adalah dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan penuh untuk tempoh empat ke lapan minggu di kawasan di mana kadar keperluan penjagaan kesihatan tinggi dan bukannya meneruskan sekatan semasa.

Dr Sanjay mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kelonggaran SOP akan diberikan kepada mereka yang sudah melengkapkan dos vaksin sepenuhnya.

Ini termasuk membenarkan mereka makan di restoran serta melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri. Pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat tidak lama lagi.

Dr Sanjay menegaskan sekatan semasa menjadi tidak efektif. Sekatan pergerakan dan SOP yang berterusan menyusahkan masyarakat kita dalam mendepani tekanan psikologi, sosial dan ekonomi yang tinggi.

“Ini mungkin kelihatan tidak masuk akal tetapi melonggarkan sekatan pergerakan dan perniagaan boleh melahirkan masyarakat yang lebih patuh.

“Masyarakat diberi kuasa untuk mengikuti SOP memakai pelitup muka di tempat yang sesak, penjarakan sosial dan kebersihan tangan,” kata Dr Sanjay.

Katanya, kerajaan boleh melonggarkan SOP bagi mereka yang sudah diberi vaksin di kawasan Fasa 2 termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi perubatan. – 21 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan