Iklan

Berkaraoke dan menari dalam balai, 4 polis ditahan bersama 4 wanita

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago21st Jul 2021Berita
Pdrm
Iklan

UNIT integriti Polis Diraja Malaysia Bukit Aman menahan seorang ketua balai dan tiga anggotanya ketika sedang berhibur dalam bilik di sebuah balai polis di Kajang, yang diubah suai menjadi seperti disko, semalam.

Mereka ditahan bersama empat wanita berumur antara 21 dan 37 tahun, dalam serbuan jam 6 petang semalam, kata sumber.

“Ketika serbuan mereka sedang menari dan berkaraoke, dan minum minuman keras.

“Bilik itu terletak di tingkat dua balai. Ada tanda ‘Dstress Room’. Bilik itu gelap dan dipasang dengan lampu disko berputar.

“Semua mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” kata sumber, yang maklum mengenai operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu.

Polis juga menjumpai gambar lucah dalam telefon genggam milik seorang daripada empat polis yang ditahan.

Polis turut merampas botol-botol arak, lampu disko serta pelbagai peralatan karaoke termasuk mikrofon dan sebuah televisyen dari bilik itu.

Dalam pemeriksaan lanjut di balai berkenaan, pasukan JIPS Bukit Aman turut menemui beberapa botol air ketum di bahagian lain di luar bilik berhibur itu.

The Malaysian Insight difahamkan polis sedang dalam proses mengambil keterangan semua lapan orang yang ditahan.

Pengarah JIPS Bukit Aman Azri Ahmad mengesahkan penahanan empat polis dan empat orang awam itu.

Semua yang terlibat disiasat antaranya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur dengan berkaraoke adalah menyalahi SOP Covid-19,” katanya.

Azri menjelaskan siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.

Kes juga disiasat kerana kesalahan memiliki air ketum yang melanggar Akta Racun 1952.

“Siasatan perbuatan cuai dijalankan oleh JIPS Bukit Aman manakala untuk kesalahan lain, siasatan dijalankan IPD Kajang,” katanya. – 21 Julai, 2021.

Iklan
Iklan