PenangPac berisiko ditutup pada Ogos, kata pengurus besar
Iklan
PUSAT Seni Persembahan Pulau Pinang (PenangPac), satu-satunya pusat seni persembahan yang berfungsi sepenuhnya di utara berisiko ditutup dalam tempoh kurang dari dua bulan sekiranya kerajaan tidak ada jalan penyelesaian bagi memastikan industri yang hampir lumpuh itu untuk terus bertahan, kata pengurus besar Fa Abdul.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa industri seni persembahan berdepan krisis akibat Covid-19.
Fa berkata ketika ini, pasukan PenangPac termasuk dirinya sendiri menerima gaji tetap tidak kurang dari RM2,000 yang mana dia memberitahu jumlahnya perlu dikurangkan sekiranya keadaan tidak bertambah baik.
Status pekerjaan pasukannya yang terdiri daripada 11 orang juga ditukar dari sepenuh masa kepada pekerja kontrak.
“Kami sudah berdepan dua pemotongan gaji utama. Pada Jun 2020, setiap pekerja dipotong gaji 30%. Pada Jun 2021, kami mempertimbangkan pemotongan lagi 10% menjadikannya jumlah keseluruhan potongan sebanyak 40% - namun kami tidak melakukannya kerana ia akan menyebabkan sebahagian kakitangan kami akan memperoleh gaji kurang dari RM1,000 sebulan.
“Dengan kurangnya semangat kerajaan untuk menangani kesan pandemik terhadap industri seni kreatif, lebih-lebih lagi untuk melindungi kita dari jatuh, kita hanya dapat bergantung pada diri kita sendiri untuk terus hidup,” katanya.
Fa berkata, sebagai “penyelesaian cepat” untuk menangani risiko penutupan secara kekal, Putrajaya harus membenarkan pusat seni persembahan dibuka semula untuk menjalani rakaman agar dapat terus membuat kandungan untuk penonton dalam talian mereka.
“Bantuan dana yang kami terima setakat ini terikat dengan program, seperti ketika kami mendapatkan dana untuk menghasilkan sesuatu. Kami tidak dapat menghasilkannya jika pusat ditutup dan kami tidak dibenarkan beroperasi semula.
“Inilah sebabnya mengapa kami mendesak kerajaan untuk membenarkan rakaman dibuat di tempat kami. Sekurang-kurangnya kita dapat menghasilkan pertunjukan secara dalam talian,” kata Fa sambil menambah bahawa pada ketika ini, mereka hanya dapat bertahan sehingga akhir Ogos dengan dana yang semakin berkurangan.
“Kami tidak ada dana untuk membantu pasukan kami lebih dari itu,” katanya.
Sejak wabak bermula, Malaysia sudah mencatatkan lebih 939,899 jangkitan Covid-19 dan 7,241 kematian walaupun sudah beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Pada Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional yang merangkumi empat fasa bagi menentukan kadar keberhasilan setiap negeri dalam memerangi virus tersebut.
Pulau Pinang kini berada dalam Fasa 2 pelan berkenaan di mana kes Covid-19 harian negeri di bawah 4,000 dan 10% penduduk sudah pun diberi vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, walaupun penggambaran di luar dibenarkan bermula semalam untuk negeri-negeri di bawah Fasa 2, belum ada lampu hijau untuk penggambaran dalam studio.
Ketika ini, pusat yang bukan berasaskan keuntungan mempunyai tiga pertunjukan teater dalam taliandengan tiket berharga RM15 hingga RM20 bagi membolehkan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat menikmati persembahan mereka.
Walaupun mendapat sokongan yang baik daripada masyrakat, Fa berkata ia masih belum cukup untuk mempertahankan pusat berkenaan.
Beliau berkata, sebelum pandemik, pusat berkenaan akan menerima sekitar 30,000 pengunjung setiap tahun, namun sejak bermulanya wabak tahun lalu, mereka hanya menerima kurang dari 1,000 pengunjung dalam talian. – 22 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.