446,052 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam, kata JKJAV
Iklan
SEBANYAK 446,052 dos vaksin Covid-19 diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Seramai 282,980 individu menerima dos pertama sementara seramai 163,072 sudah menerima kedua-dua dos.
Dengan angka terkini, seramai 10.5 juta atau 32.4% daripada jumlah penduduk sudah menerima dos pertama vaksin mereka sementara selebihnya 4.9 juta atau 15.1% penduduk diberi vaksin sepenuhnya.
Lembah Klang – yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya – terus mencatatkan suntikan tertinggi dengan 5.6 juta dos diberikan setakat ini di mana 50.8% atau 4.2 juta menerima dos pertama dengan 16.1% atau 1.4% juga sudah divaksin sepenuhnya.
Sementara itu, Labuan kekal sebagai negeri dengan kadar vaksinasi tertinggi dengan 60.5% daripada jumlah penduduk menerima dos pertama dan 46.8% menyelesaikan kedua-dua dos tersebut.
Kerajaan menyasarkan memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 kepada semua warga emas di Lembah Klang dalam beberapa minggu akan datang.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menetapkan sasaran agar semua golongan dewasa di Malaysia diberi vaksin pada Oktober bagi membendung peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.
Beliau berkata, pendekatan pantas menerusi program imunisasi kebangsaan termasuk meningkatkan kapasiti vaksinasi sehingga 500,000 dos sehari dilaksanakan bagi menangani kemunculan varian baharu virus berkenaan. – 22 Julai, 2021.