Iklan

Waktu operasi lebih panjang semasa PKP tidak bantu perniagaan, kata persatuan

Khoo Gek San3 years ago23rd Jul 2021Berita
Restaurant covid-19 bukit bintang  full
Peniaga kedai makan berharap kelonggaran makan di restoran akan membantu memulihkan jualan selepas mengalami kerugian akibat PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2021.
Iklan

MEMBENARKAN kedai makan beroperasi sehingga jam 10 malam tidak membantu kebanyakan peniaga kerana pelanggan masih kurang berbelanja selagi tidak dibenarkan makan di kedai, kata persatuan makanan dan minuman.

Waktu tutup pada jam 10 malam bagi perkhidmatan penghantaran dan bungkus diperkenalkan selepas aduan orang ramai mengenai tempoh operasi 8 malam di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula di seluruh negara pada 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, bagi peniaga di luar Lembah Klang, ia juga tidak memberi kesan yang banyak kerana ramai memilih masak di rumah agar simpanan dapat bertahan selama mungkin sepanjang PKP yang berterusan dan tidak pasti.

Perkara sama berlaku di beberapa negeri yang berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang membolehkan sekatan lebih longgar, kata ketua persatuan kedai kopi.

Toon Koon Ku, ketua Persatuan Pemilik Kedai Kopi Foochow Pulau Pinang berkata walaupun kedai makan dan minum di negeri ini dibenarkan dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam, hampir tiada pelanggan datang membeli makanan selepas jam 7 malam.

“Kami sangat berharap kebenaran makan di kedai. Sebaik sahaja ia dibenarkan, perniagaan akan bertambah baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Banyak pelanggan juga kurang kuasa beli selepas lebih setahun pandemik dan pelbagai tahap sekatan yang menyebabkan kehilangan pekerjaan.

“Sekarang simpanan setiap orang berkurangan, tabiat penggunaan akan berubah dan orang akan lebih berjimat. Bukan hanya kedai kopi terjejas, penjaja juga sama.”

Toon berkata perniagaan belum meningkat sejak PKP pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu. Ia hanya bertambah buruk dengan PKP terkini pada 1 Jun

“Perniagaan kami belum kembali ke tahap sebelum pandemik. Orang takut keluar kerana bimbang dijangkiti virus. Dan sekarang, ia ditambah dengan kebimbangan ketiadaan katil di hospital jika dijangkiti.”

Pemilik kedai kopi yang menyewa lot kedai terpaksa membayar RM7,000 hingga RM20,000 sebulan bagi sewa, gaji dan bil utiliti.

Sin Thin Sang, pemangku pengerusi Timbalan Pengerusi Persatuan Kafe, Hotel dan Restoran Kuantan berkata walaupun perniagaan dibenarkan dibuka lebih lama, kes Covid-19 semakin teruk.

“Seperti Pulau Pinang, Kuantan di Pahang, juga berada di bawah fasa kedua PPN dan mempunyai sekatan pergerakan yang lebih longgar. Namun, orang takut keluar,” kata Sin.

“Walaupun di bawah fasa kedua, saya kurang optimis dengan peningkatan perniagaan.

“Sejak 1 Jun, perniagaan kami merosot. Kami mengalami penurunan 10% dalam perniagaan. Pendapatan tidak cukup dan perniagaan kedai kopi hampir tidak beroperasi.

“Satu-satunya cara dapat mengurangkan perbelanjaan sekarang ialah memberhentikan pekerja dan menjalankannya sendiri,” kata beliau.

Tabiat pengguna berubah

Law Eu We, pengerusi Guild Koo Soo San Yuen di Taiping, Perak berkata bukan sahaja orang ramai mengurangkan pembelian bungkus, mereka juga menjaga pemakanan agar kurang berbelanja.

“Perniagaan tidak laris kerana ramai berjimat dan dapat menyimpan dengan mengurangkan makan. Saya tahu ada yang makan roti sahaja agar dapat menjimatkan wang,” katanya.

Kata Law, sukar bagi pengusaha makanan dan minuman mengatasi kerugian yang dialami semasa PKP apatah lagi dengan larangan makan di restoran, ramai terpaksa memberhentikan pekerja dan mengambil pekerja sambilan.

“Kami benar-benar tidak melihat masa depan. Kami hanya berharap dapat segera divaksinasi. Apabila lebih banyak orang diberi vaksin, maka peraturan boleh dilonggarkan dan makan di premis dibenarkan semula,” kata Law. – 23 Julai, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan