Malaysia perlu meterai RCEP secepat mungkin, kata pakar ekonomi
Iklan
MALAYSIA perlu memeterai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secepat mungkin kerana ia dapat memberikan manfaat ekonomi buat negara, kata pakar ekonomi Lee Heng Guie hari ini.
Pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) itu berkata perjanjian tersebut akan menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar dalam kumpulan 15 negara.
“Kami gesa kerajaan segera meterai RCEP,” katanya kepada wartawan pada taklimat ekonomi suku tahunan SERC.
Katanya ia akan membolehkan lebih banyak syarikat membuat persiapan menjadi sebahagian daripada perjanjian tersebut. Walaupun syarikat lebih besar mungkin sudah bersedia, namun syarikat kecil mungkin perlukan sedikit persiapan, katanya.
Mengambil contoh China, beliau berkata negara itu, yang pertama kali mengesahkan perjanjian tersebut telah mempersiapkan syarikatnya untuk menembus ke pasaran yang lebih besar.
“RCEP hadir dengan peluang tetapi anda juga harus bersedia untuk bersaing,” katanya.
Tambahnya Lee lagi, perjanjian itu merangkumi 27.2% perdagangan global, 28.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan melibatkan sekitar sepertiga penduduk dunia.
Bagi Malaysia, perdagangannya dengan anggota RCEP menyumbang 58% daripada jumlah perdagangan yang dicatatkan pada tahun 2020.
Perjanjian perdagangan bebas memungkinkan negara memiliki kuasa membeli, meningkatkan eksport, mendapatkan akses ke pasar yang lebih luas selain meningkatkan permintaan untuk barang dan perkhidmatan, kata Lee.
Katanya, perjanjian itu juga dapat membantu ekonomi, terutama ketika pandemik Covid-19 ini.
Perjanjian perdagangan itu akan memungkinkan negara-negara anggota meningkatkan peluang komersial dan perkongsian, menarik pelaburan, dan meningkatkan digitalisasi dan e-dagang, tambahnya. – 22 Julai, 2021.