Remaja maut ditimpa kerusi, penghuni PPR bimbang kes akan berulang
Iklan
KES pembuangan sampah oleh individu tidak bertanggungjawab dari aras tinggi bukanlah satu perkara baru di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam.
Penduduk di pangsapuri 21 tingkat tersebut pernah menyaksikan objek seperti plastik diisi najis, kayu dan batu-bata dicampak dengan begitu sahaja dari tingkat atas.
Ada di antara kes tersebut menyebabkan kecederaan dan kerosakan kereta penduduk di situ.
Paling menyayat hati adalah kes membuang kerusi yang jatuh menimpa Satishwaran Sathiasilan pada hari Isnin lalu dan membunuh pelajar berusia 14 tahun itu serta merta.
Penduduk yang ditemui The Malaysian Insight kesal dengan sikap jiran tetangga mereka dan tertanya-tanya apakah kematian remaja itu akan mengubah keadaan.
Tinjauan The Malaysian Insight di situ mendapati, keadaan di PPR di bawah seliaan DBKL itu bukan sahaja kotor dan terdapat banyak kemudahan yang rosak serta tidak mesra Orang Kurang Upaya (OKU), tetapi terdapat bau yang kurang menyenangkan terutama ketika menaiki tangga.
Namun bagi penduduk di sini, masalah seperti itu dianggap perkara biasa.
Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Edi menyalahkan sikap penduduk di situ, yang kebanyakannya dipindahkan dari kawasan setinggan.
“Mereka mempunyai mentaliti kelas ketiga. Kebanyakannya bukan semua berpelajaran.
“Letaklah jaring atau jeriji (sebagai hadangan dari ditimpa sampah), kalau kebakaran macam mana? Lepas itu orang akan kopakkan (jeriji) untuk jual (sebagai) besi buruk.
“Buat apa pun takkan selesai kecuali mereka (pihak berkuasa) beri dorongan pada penduduk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Edi berkata, semua pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk perlu memainkan peranan, bukannya menyalahkan sebelah pihak sahaja.
Katanya, meskipun DBKL bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV), ia mungkin akan dicuri oleh penghuni tidak bertanggungjawab untuk dijual.
Ada juga kes yang tidak dapat diambil tindakan kerana penghuni bertanggungjawab membuang sampah itu didapati mempunyai masalah mental, katanya.
Keselamatan dan kebersihan
Seorang lagi penghuni, Yusliza Mohammad, 36, berkata beliau tidak pasti jika kejadian menimpa remaja malang itu akan menjadi pengajaran.
Peniaga yang mengusahan gerai makanan itu berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas pelaku yang membuang sampah dan pelbagai objek sesuka hati dari tingkat atas.
“Kalau boleh pihak berkuasa ambil tindakan tegas. Kalau pihak berkuasa bertanggungjawab (kes seperti ini akan) kurang. Tapi ini dah sampai tahap kes mati.
“Hari itu ada kes balingan batu-bata. Lepas tu jatuh sampai pecah kereta. Tindakan ini (buang objek) sudah biasa.
“Tapi sekarang sampai ada budak mati,” katanya yang tidak yakin sekiranya kes seperti itu akan berkurangan.
Yusliza yang menetap di situ sejak 2012 itu berkata ada juga penduduk yang mengambil jalan mudah membuang sampah di dalam lif.
Bagi Yusliza dan Edi, isu keselamatan dan kebersihan menjadi perkara utama yang perlu dititikberatkan di situ.
Mereka pernah melihat berbagai ragam manusia yang menetap di situ termasuk penagih dadah yang kadang-kala membuang najis di tepi tangga.
Sementara itu, seorang penghuni yang pernah menjadi mangsa akibat perbuatan tidak senonoh itu, P. Vasanthi, turut berkongsi kekecewaannya.
Suri rumah berusia 49 tahun itu amat terkejut apabila mendapat tahu mengenai berita tragik yang menimpa pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Brickfields itu berkata mangsa adalah rakan anaknya.
“Saya sendiri adalah mangsa kepada masalah ini beberapa tahun sebelum ini. Ada orang buang perabot kayu sampai belakang saya cedera dan saya perlukan rawatan.
“Kita tak dapat jangka benda yang akan terbang dari koridor. Boleh jadi botol arak, batu-bata, sampah dan macam-macam lagi,” katanya.
Bagaimanapun, bukan semua penghuni pangsapuri kos rendah bersikap seperti itu, katanya.
Beliau tidak pernah melihat perangai seperti itu ketika menetap di pangsapuri lamanya di pangsapuri Tunku Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Flat Pekeliling.
“Benda macam ini tidak pernah jadi di flat Pekeliling. Ia jadi di sini saja.
“Orang yang tiada sikap sivik macam ini akan berhenti buat macam ini tapi ia memerlukan usaha semua komuniti di sini,” katanya.
Tambahnya, meskipun suaminya tidak pernah culas membayar kos penyelenggaraan setiap bulan sebanyak RM45, PPR itu masih memerlukan banyak penyelenggaraan.
Sengaja buang sampah
Sementara itu, salah seorang saksi kejadian Abu Kassim berkata, penduduk yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dari tingkat atas PPR itu sengaja berbuat demikian.
“Bukan barang jatuh, memang sengaja mereka buang,” katanya yang telah menetap di situ selama 18 tahun.
Pengawal keselamatan di perpustakaan di kawasan PPR itu berkongsi kisah malam insiden mengerikan itu.
“Masa kejadian saya dengar ada barang jatuh, bila saya sampai otak dia dah terkeluar semua. Mak dia pun ada situ. Dia depan, mak dia belakang sikit dari dia.
“Sebelum ini memang pernah tegur dengan orang ramai jangan buang barang dari atas. Tapi sekarang sampai ada orang mati,” katanya.
Katanya, ibu kepada mangsa, S. Kasthuribai turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian tersebut.
DBKL akui bukan perkara baru
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Wan Muhammad Ghazali Nor yang terkejut dengan insiden berkenaan turut mengakui perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian sememangnya bukan perkara baru.
“Pihak DBKL sedih dengan apa yang berlaku atas kemalangan yang menimpa keluarga mangsa. Kita pun terkejut. Kita tahu buang, baling sampah dan objek banyak berlaku.
“Kita pernah bagi notis. Mengikut undang-undang kecil perumahan, mereka tak boleh lakukan seumpama itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Katanya, susulan kejadian tersebut, pihaknya akan mengambil tindakan yang lebih tegas sehingga membolehkan individu terlibat disingkirkan dari unit terbabit.
“Kita akan keluarkan notis lebih keras. DBKL akan ambil tindakan keras terhadap kes buang sampah ini. Bukan sahaja kompaun tapi keluarkan mereka dari tempat itu,” katanya.
Katanya, pihaknya akan memasang perlindungan seperti bumbung bagi mengelakkan insiden malang yang menimpa remaja tersebut berulang.
Meskipun ia bukan penyelesaian kepada masalah utama, tetapi pihaknya akan mengadakan meningkatkan program bersama penduduk bagi kesedaran sivik.
Setakat ini, 72 kawasan PPR yang DBKL kenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai masalah tinggi seperti vandalisme dan pelanggaran undang-undang kecil.
DBKL mendapat bantuan polis untuk memantau 10 daripada kawasan tersebut dan PPR Sri Pantai juga akan dimasukkan dalam senarai, menjadikan 11 kawasan.
Mengulas mengenai isu keselamatan dan penyelenggaraan, Wan Ghazali berkata, CCTV akan dipasang di seluruh lobi lif PPR di bawah seliaan DBKL, dan jika ia dirosakkan pihak berkenaan perlu menggantinya.
“Memang dalam proses penggantian lif baru. Dan perancangan itu DBKL dah buat di kawasan-kawasan lain. Kalau lebih 10 tahun kita upgrade, kalau 15 tahun ke atas kita tukar baru,” katanya.
Tambahnya, anggaran kos penyelenggaraan PPR setahun merupakan RM145 juta, tidak termasuk kos pembersihan. – 17 Januari, 2018.