Banyak sebab doktor letak jawatan, kata pengarah kesihatan Selangor
Iklan
SERAMAI 163 pegawai perubatan (MO) di Selangor telah berhenti dari perkhidmatan itu sejak Januari lalu kerana pelbagai sebab termasuk mencebur diri dalam bidang yang mereka minati, kata Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman hari ini.
Sambil mengetepikan laporan berita mengenai notis berhenti kerja 24 jam oleh doktor, beliau berkata ada di antara mereka yang telah mendapat tawaran lebih baik dengan gaji lebih tinggi di tempat lain.
“Ada yang mahu mewarisi klinik milik keluarga mereka. Ada yang tukar kerjaya.
“Malah beberapa pegawai yang saya sendiri berjumpa, mereka bertukar profesion dan ada yang jadi jurugambar kerana sudah tidak minat dengan kerjaya sebelum ini malah ada juga yang buka kedai komputer kerana mendapat pendapatan tiga kali ganda,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan pegawai tinggi kementerian lain hari ini.
Dr Sha’ari berkata ini menunjukkan ada beberapa sebab kenapa pegawai perubatan letak jawatan.
Semalam The Malaysian Insight melaporkan 10 doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang telah berhenti sejak tiga minggu lalu, dengan memberi notis letak jawatan 24 jam.
Mereka mendedahkan, keletihan, kurang peluang kerjaya dan tekanan melampau menjadi sebab mereka letak jawatan dengan notis singkat.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq Abdullah berkata, trend letak jawatan ini adalah tinggi kerana antara tahun 2014 dan 2020 seramai 900 MO telah berhenti atas alasan seperti yang dikatakan oleh Dr Sha’ari.
“Kami harap MO akan setia dengan perkhidmatan ini terutama semasa pandemik Covid-19,” kata Shafiq.
Tambahnya tawaran buat pekerja kesihatan kontrak seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membolehkan kementerian mengkaji semula kerjaya MO kontrak.
Muhyiddin berkata, Putrajaya bersetuju melanjutkan kontrak untuk pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang sudah diterima untuk menjalani latihan kepakaran hingga tempoh maksimum empat tahun
Beliau berkata lanjutan itu termasuk untuk mereka yang diterima menjalani latihan kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama tempoh kontrak.
“Bagi penyelesaian serta-merta, Kabinet memutuskan untuk menawarkan kontrak perkhidmatan dua tahun kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang melengkapkan perkhidmatan wajib merkea bagi memastikan perkhidmatan mereka diteruskan dan sebagai persediaan latihan kepakaran,” katanya.
Kenyataan Muhyiddin itu itu muncul susulan ada kumpulan doktor mengancam membuat mogok jika tidak ada penyelesaian mengenai isu jawatan tetap buat doktor kontrak.
Beliau berkata jangka masa kontrak empat tahun akan memastikan pegawai akan dapat selesaikan latihan kepakaran masing-masing.
Kabinet juga telah memutuskan untuk menaikkan faedah tertentu buat pegawai kontrak agar setaraf dengan pegawai tetap, termasuk dibayar gaji semasa cuti belajar dan ditaja, yang setara dengan faedah diberikan di bawah skim Hadiah Latihan Persekutuan, serta cuti belajar dengan gaji penuh.
Pegawai perubatan, doktor gigi dan ahli farmasi secara kontrak berhak mendapat faedah seperti cuti khas untuk tugas perubatan, cuti sakit, dan peruntukan perjalanan, antara lain. – 23 Julai, 2021.