Covid-19 'serang' pasar borong Selayang lagi
Iklan
SEBANYAK 10 jangkitan Covid-19 dikesan di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang walaupun 50% pekerja sudah menerima dua dos vaksin, kata vendor.
Mereka kini bimbang jangkitan itu akan merebak, menyebabkan pasar ditutup semula buat kali keempat sejak pandemik bermula tahun lalu.
Pasar borong ditutup pada April tahun lalu, pertengahan Januari tahun ini, dan pada Jun lepas.
Ia melaporkan wabak pada April tahun lalu, pada pertengahan Januari tahun ini dan wabak ketiga dilaporkan pada Jun apabila 400 orang dari bahagian makanan laut didapati positif semntara empat meninggal dunia kerana virus yang sama.
Kes terbaharu ini membuatkan vendor terkesan kerana mereka sudahpun terjejas kerana perniagaan yang teruk akibat Covid-19. Pelanggan kurang ke pasar sementara penjaja, yang biasanya mendapat bekalan di sini, juga mengelak daripada membeli di pasar itu.
Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata, jangkitan terbaharu bermula pada 18 Julai ketika penjual sayur menghidap gejala seperti Covid-19 selepas pulang daripada vaksinasi.
Beliau kemudiannya didapati positif Covid-19, begitu juga isteri dan anak-anaknya.
“Selepas itu, penjual dan pekerja sayur-sayuran lain dekat gerainya menjalani ujian saringan dan 10 orang didapati positif. Kami masih belum dapat tahu lagi sumber virus itu,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.
Wong berkata, 50% daripada penjual sayur sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sementara 50% lagi iaitu lebih kurang 1,000 orang dijadualkan menerima dos kedua mereka minggu depan.
Katanya beliau tidak tahu perlu disaring sebelum divaksinasi, menambah ada yang positif dan ada yang sudah dapat dua suntikan vaksin.
Wong berkata Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah dimaklumkan dan mereka sedang menunggu keputusan ujian dikeluarkan sebelum memutuskan tindakan yang perlu diambil.
“Pekerja dari gerai dengan kes positif dan gerai lain diminta mengasingkan diri. Kami sudah minta semua vendor jujur dan tidak sembunyikan gejala mereka.”
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy berkata di kalangan penjual buah, dua pekerja diuji positif.
“Sekurang-kurangnya 200 orang daripada 80% penjual buah sudah lengkapkan dos kedua vaksin mereka. Selebihnya 20%, kurang daripada 100 orang belum diberi vaksin kerana sebelum ini mereka didiagnosis menghidap Covid-19 dan perlu menunggu.”
Selepas jangkitan terbaharu itu, para pemborong hilang ramai pelanggan kerana mereka tidak berani ke pasar borong itu.
“Perniagaan kami jatuh 80%, tidak ramai pelanggan yang mahu masuk. Sekarang kami hantar kepada pelanggan apabila mereka membuat pesanan.
“Sejak kes pertama di pasar, vendor dan pekerja disaring tiga hingga empat kali. Kami fikir pandemik akan tamat bila semua orang sudah diberi vaksin. Sekarang virus tersebar, kami takut buka perniagaan,” katanya.
Terdapat 448 gerai di pasar itu, dengan 168 daripadanya adalah penjual makanan laut, 216 penjual sayur dan 64 gerai buah. Pasar itu menggajikan sekitar 4,000 pekerja.
Pasar borong Kuala Lumpur membekalkan makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan ke pasar yang lebih kecil dan juga restoran di sekitar Lembah Klang.
Dua penjual ikan positif
Sing Kian Hock, presiden Persatuan Pemborong Ikan How Seng KL berkata 70% anggotanya sudah lengkap dua dos vaksin. Baki 30% akan menerima dos kedua pada 8 Ogos.
Sebanyak 168 gerai makanan laut menggaji 900 pekerja. Selepas pekerja di bahagian sayur di pasar didapati positif, pekerja di bahagian makanan laut juga menjalani ujian dan didapati dua daripadanya positif Covid-19.
Sing mengesyaki sumber virus bukan berpunca dari pasar itu, sebaliknya dari pasar lain di Seremban, Kajang dan Sri Petaling yang mempunyai kes.
Persatuan ini juga meminta semua vendor dan pekerja bersikap jujur dan tidak menyembunyikan gejala mereka untuk mencegah penularan lain.
Sing berkata penularan di pasaran ditambah dengan PKP pada 1 Jun menyebabkan perniagaan di pasaran merosot sebanyak 20%.
“Jumlah pelanggan yang mengunjungi pasar menurun, terutamanya kerana makan di kedai tidak dibenarkan. Justeru, pemilik restoran membeli kurang barang. Pasar malam juga tidak dibenarkan beroperasi, jadi ini menjejaskan perniagaan kami.”
Wong menyuarakan sentimen yang sama dengan Sing, berkata sukar untuk berniaga di pasar kerana makan di kedai masih tidak dibenarkan.
Beliau berkata terdapat penurunan sebanyak 30% di kalangan pelanggan tetapnya yang merupakan penjaja, sambil menambah pelanggan juga mengelak ke pasar kerana bimbang dijangkiti virus.
“Kami berharap vendor dan pekerja menyelesaikan dua dos vaksin dengan segera agar rantaian bekalan makanan tidak terganggu.
“Kami harap semua orang agar berwaspada dan selepas lebih setahun, semua orang patut tahu untuk mematuhi prosedur operasi standard.” – 24 Julai, 2021.