Kumpulan masyarakat sivil mahu undi pos diperluas dalam PRN Sarawak
Iklan
KIRA-KIRA 16 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) mahu undi pos diperluas kepada semua pengundi Sarawak dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Cadangan undi pos oleh CSO Platform for Reform Sarawak ini juga perlu membabitkan rakyat Sarawak yang menetap dan bekerja di negara Asean.
Cadangan tersebut telah disampaikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata mereka.
Ketika ini, undi pos hanya tersedia kepada pengundi dalam sembilan agensi kerajaan, petugas media, polis dan tentera, selain mereka yang bertugas dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Menurut mereka, PRN Sarawak ke-12 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas darurat ditarik semula, yang dijangka dibuat pada 1 Ogos nanti.
CSO itu juga menyarankan kategori “pengundi awal” diperluas merangkumi pengundi luar daerah, iaitu mereka yang tinggal dan bekerja di luar daripada kawasan mengundi mereka.
Kumpulan tersebut berkata, ini bagi memudahkan ribuan rakyat Sarawak yang tinggal dan bekerja di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang tidak dapat pulang untuk mengundi.
Mereka mencadangkan pusat mengundi awal ditubuhkan di setiap negeri di Malaysia dan pengundi perlu daftar terlebih dahulu seperti mana dibuat oleh anggota polis dan tentera dalam pilihan raya lain.
“Mereka kemudian boleh mengundi awal dan undian perlulah dikira mengikut kawasan yang mereka daftar.
“Waktu kira undi boleh dibuat pada waktu tertentu pada hari pengundian itu sendiri,” kata kumpulan itu.
Kumpulan itu turut mencadangkan sistem mengundi mudah alih, yang menurut mereka boleh digunakan oleh SPR untuk pengundi kelainan upaya dan warga emas yang tinggal di rumah jagaan serta mereka yang dikuarantin.
“Ini boleh jadi sebahagian daripada pengundian awal dan kertas undi mereka dikira mengikut kawasan yang mereka daftar,” tambah mereka.
Berikutan pandemik Covid-19, CSO itu menyarankan hari pengundian dilanjutkan selama dua hari kerana pengundi perlu patuh dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – 24 Julai, 2021.