Masa depan pelajar dan negara bakal terjejas jika sekolah terus ditutup, kata pakar
Iklan
KANAK-KANAK Malaysia akan menanggung kerugian besar pada masa depan dalam bentuk pendapatan lebih rendah, jika sekolah masih ditutup, kata pakar pendidikan.
Mereka berkata negara ini juga bakal mengalami kerugian dalam bentuk keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada masa depan, memetik data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Pengarah Eksekutif LeapEd Services Nina Adlan Disney berkata penutupan sekolah menjejaskan masa depan negara.
Setiap kanak-kanak yang tidak dapat ke sekolah bakal mengalami kerugian pendapatan pada masa depan dengan purata 3% sepanjang hayat mereka, menurut dapatan OECD, katanya.
“OECD juga menganggarkan kesan domino yang akan menyebabkan kemerosotan 1.5% dalam KDNK untuk negara hingga hujung abad ini,” katanya.
LeapEd Services bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan inisiatif perubahan sekolah.
Penutupan sekolah disambung lagi, kali ini hingga 31 Ogos, di mana ia kemudian dijangka dibuka semula secara berperingkat. KPM mengumumkan perkara itu pada 17 Julai lalu dan berkuatkuasa kepada semua sekolah dan institusi berdaftar dengan kerajaan.
Sekolah ditutup hampir sepanjang tahun lalu akibat pandemik Covid-19. Ia dibuka semula secara berperingkat pada Mac tahun ini tetapi ditutup sekali lagi apabila pergerakan kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara pada 1 Jun.
Pembelajaran dijalankan dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) walaupun menerima banyak aduan ibu bapa dan guru berkenaan kesukaran belajar dan mengajar secara atas talian, terutama bagi pelajar miskin yang kekurangan peralatan dan akses internet.
Disney berkata kerajaan sepatutnya membenarkan sekolah di kawasan berisiko rendah Covid-19 dan kadar imunisasi tinggi untuk dibuka lebih awal.
“Sedih melihat jurang pembelajaran semakin luas antara pelajar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan perlu ada “kurikulum pemulihan” yang dapat menangani masalah jurang yang semakin meluas.
Beliau berkata KPM perlu mengambil pendekatan pembezaan yang mengambil kira keperluan khusus setiap sekolah dan komunitinya.
“Sesetengah sekolah saiznya kecil dengan risiko Covid-19 rendah. Contohnya, ada sekolah Orang Asli yang hanya ada 130 pelajar,” katanya.
Hikmahnya ketika pandemik, katanya ialah kekurangan kebergantungan terhadap peperiksaan.
“Kita perlu lebih kreatif dalam cara bagaimana kita melihat pengetahuan pelajar dan cara untuk mereka dapat belajar dnegan lebih baik,” katanya.
“Kita perlu periksa semula pengajaran kita, contohnya, perlu bertukar daripada ujian standard dan beralih ke arah ‘pendekatan berpusatkan guru’.”
Dalam kata lain, pandemik ini memberikan kerajaan satu peluang untuk “reset” sistem pendidikan. – 25 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.