Isu kepercayaan Orang Asal Penan Sarawak halang vaksinasi Covid-19
Iklan
TIDAK percayakan perubatan moden dan orang luar adalah dua penghalang dihadapi pihak berkuasa kesihatan Sarawak dalam usaha memujuk komuniti Orang Asal suku Penan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Ramai mereka yang enggan divaksin, kata seorang wakil rakyat suku Penang, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Mohamed Sapian Mohamed kepada The Malaysian Insight.
Menurut mereka “maklumat salah daripada orang awam” adalah sebab mengapa orang Penan enggan divaksin.
Gumbang berkata orang Penan diberitahu yang vaksinasi bercanggah dengan amalan dan kepercayaan agama mereka.
Sebab lain termasuklah tanggapan yang vaksin satu dos buatan China, CanSino, yang dirancang negeri untuk diberikan kepada masyarakat pedalaman adalah vaksin berkualiti rendah.
“Mengapa mereka yang tinggal di kawasan pedalaman disuntik dengan vaksin CanSino sedangkan mereka yang tinggal di bandar disuntik dengan dua dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac,” kata Gumbang.
Walaupun wujud usaha berterusan dibuat kerajaan negeri untuk pemberian vaksin CanSino, masih belum penghantaran yang dilakukan setakat ini.
Gumbang berkata disebabkan cabaran logistik dan komunikasi di kawasan pedalaman, wujud kesedaran rendah tentang kepentingan imunisasi berkumpulan untuk mencapai imuniti kelompok.
Tambahnya, penolakan vaksin juga didorong oleh salah tanggapan orang Penan yang Covid-19 hanya berlaku di bandar sahaja.
Sementara itu, Dr Mohamed Sapian memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun pegawai kesihatan di kawasan ramai orang Penang sudah memulakan usaha mempromosi program imunisasi sejak Mac lalu, ia masih tidak membuahkan hasil yang baik.
“Umumnya, mereka masih enggan divaksin. Ada yang datang tetapi ramai yang tak nak,” katanya.
Dianggarkan terdapat 10,000 orang Penan di Sarawak. Kebanyakan mereka menetap di utara negeri itu, di kawasan pedalaman sepanjang Sungai Baram di Miri, Limbang dan Lawas.
Masalah keengganan orang Penan untuk divaksin terdedah apabila pegawai Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi berkata tiada seorang pun orang Penan di kawasan itu divaksin walaupun banyak usaha dibuat untuk menggalakkan mereka berbuat demikian.
Malah Ahmad mendakwa dalam satu kejadian, orang Penan di penempatan Long Napir melarikan diri dan bersembunyi dalam hutan apabila pasukan mobil vaksinasi dihantar ke kawasan itu.
Gumbang juga berkata sambutan kepada pendaftaran termasuk yang dibuat secara manual untuk vaksinasi “tidak menggalakkan”.
Di salah satu penempatan Penan di kawasan perwakilannya, Kampung Bahagia di Long Rayeh, hanya 19 orang yang mendaftar daripada lebih 400 orang dewasa yang tinggal di sana.
Penempatan itu terletak antara tiga hingga empat jam pemanduan melalui jalan balak dari Limbang.
Di kawasan berhampiran, Telang Usan di Baram, wakil rakyatnya Dennis Nagu pula mendedahkan yang hanya seorang Penan dari penempatan Long Leng divaksin.
Individu itu ialah tok batin penempatan itu.
Guna pempengaruh tempatan
Dr Mohamed Sapian mengesahkan yang orang Penan di Baram enggan divaksin.
“Pelbagai pendekatan telah digunakan untuk mempromosi program vaksinasi kepada kumpulan suku ini,” katanya, menambah yang salah satu pendekatan diambil adalah melibatkan program hebahan maklumat dijalankan klinik kesihatan di kawasan ramai orang Penan.
Katanya lagi, pendekatan serupa juga dijalankan oleh pejabat bahagian melalui pemimpin komuniti.
Dr Mohamed Sapian berkata bahan promosi vaksinasi menggunakan beberapa dialek Penan juga sudah diedarkan.
Sarawak juga menggunakan beberapa pempengaruh Penan untuk bercakap dengan komuniti itu, berharap mereka lebih dipercayai berbanding pihak berkuasa kesihatan.
“Pempengaruh tempatan” dalam komuniti Penan terdiri daripada pastor gereja dan kerana itu pegawai Sidang Injil Borneo dilibatkan bagi berkomunikasi dan membina kepercayaan orang Penan terhadap perubatan moden.
Awal bulan ini, kata Dr Mohamed Sapian, Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang melibatkan seorang pastor terkenal untuk bercakap kepada komuniti tentang kepentingan vaksinasi, tetapi tidak ramai hadir majlis itu.
Walaupun pelbagai program libat urus dan promosi diadakan, pihak berkuasa masih tidak pasti keberkesanannya dalam menghapuskan syak wasangka orang Penan terhadap vaksinasi.
“Kami masih tak boleh sahkan samada pendirian mereka kekal sama atau sudah ada perubahan.”
Tiada statisik tersedia tentang jumlah orang Penan yang sudah divaksin tetapi data terbaru Jabatan Kesihatan menunjukkan 70% populasi yang layak divaksin di Limbang sudah menerima satu dos vaksin manakala 49% lagi sudah melengkapkan dua dos vaksin. – 25 Julai, 2021.