Iklan

417,738 dos vaksin disuntik semalam

Hailey Chung Wee Kye3 years ago25th Jul 2021Berita
F36952ca-3872-4fab-a864-ef4dfe74cba0
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata Pick berhasrat melonjakkan kadar vaksinasi kepada 500,000 dos sehari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2021.
Iklan

MALAYSIA mengedarkan 417,738 dos vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Bab.

Angka harian vaksinasi terbaru itu berkurangan buat dua hari berturut-turut berbanding rekod vaksinasi 507,050 pada Khamis lepas.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata Pick berhasrat melonjakkan kadar vaksinasi kepada 500,000 dos sehari.

Pendekatan gerak pantas program ini diambil bagi menangani lonjakan kes disebabkan kemunculan varian Covid-19 yang lebih ganas dan merbahaya.

Bagaimanapun, jumlah dos vaksin harian kekal berada di bawah 400,000 yang hampir setiap hari dicapai sejak 12 Julai kecuali 299,593 pada Selasa,380,440 (17 Julai) dan 344,961 pada 18 Julai.

“Jumlah pemberian vaksin COVID-19 pada 24 Julai 2021 ialah 417,738 dos. Dos 1 (adalah) 284,672. Dos 2 (pula) 133,066,” tulis Adham di Twitter memetik data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Daripada 16.9 juta dos vaksin Covid-19 yang diberi setakat ini, 11.5 juta atau 35.2% orang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah suntikan dos pertama tertinggi dengan 4,711,715, diikuti Sarawak (1,644,583), Johor (845,126) dan Perak (653,851).

Untuk dos kedua, sejumlah 5.4 juta penerima atau 16.5% penduduk Malaysia sudah menerimanya.

Daripada jumlah itu, gabungan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 1,597,181, diikuti Sarawak (1,118,715), Johor (396,741) dan Sabah (378,840).

Manakala, Labuan merekodkan kadar vaksinasi tertinggi dengan 61.3% penduduknya sudah menerima dos pertama vaksin dan 51% menerima dua dos vaksin.

Putrajaya meletakkan sasaran semua warga emas di Lembah Klang disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dalam beberapa minggu lagi.

Selain itu, Muhyiddin juga dilaporkan berkata yang kerajaan mensasarkan 100% populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sarawak pula dijangka mencapai sasaran ini pada akhir Ogos.

Menurut perdana menteri, semua orang dewasa di Malaysia akan divaksin menjelang Oktober, sasaran imunisasi terbaru ditetapkan kerajaan bagi mengekang lonjakan terbaru kes Covid-19 yang berlaku kini. – 25 Julai, 2021.

Iklan
Iklan