Iklan

Pemohon MM2H hilang sabar program masih ditangguh, kata perunding

Khoo Gek San3 years ago26th Jul 2021Berita
49936077638 5635b758d2 o
MM2H dilancarkan pada 2002 untuk menarik modal asing, mempromosikan pelancongan dan mengembangkan ekonomi negara dengan mendorong warga asing tinggal dalam jangka masa panjang di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.
Iklan

KEBANYAKAN warga asing yang memohon untuk menetap di Malaysia kecewa apabila kerajaan masih belum menamatkan penangguhan program itu, kata ejen dan perunding program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Mereka berkata Malaysia mengalami kerugian daripada segi kewangan kerana negara jiran meneruskan polisi migrasi walaupun ketika pandemik Covid-19.

Program MM2H ditangguhkan sejak akhir 2019, tanpa sebarang kata putus daripada kerajaan, menyebabkan ribuan pemohon kecewa.

“Sejak tahun lalu, 2,000 permohonan dipulangkan menyebabkan negara kerugian hingga RM1.5 bilion. Ini fenomena yang belum pernah dilihat sejak pelancaran program ini,” kata Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight kebanyakan pemohon sudah hilang sabar, menunjukkan mereka tidak mahu menunggu lagi dan akan membatalkan permohonan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri sebelum ini berkata penangguhan itu bagi membolehkan kementerian membuat spesifikasi dan penambahbaikan terperinci terhadap program itu, merangkumi keselamatan, harta benda, kesejahteraan dan kesan ekonomi.

MM2H dilancarkan pada 2002 untuk menarik modal asing, mempromosikan pelancongan dan mengembangkan ekonomi negara dengan mendorong warga asing tinggal dalam jangka masa panjang di Malaysia dengan prosedur lebih mudah dan lebih banyak kelebihan seperti tempoh visa selama 10 tahun.

Liew berkata persatuan mengadakan pertemuan dengan menteri pada 20 Disember, 2020. Berdasarkan maklum balas menteri, beliau berharap program MM2H dapat dimulakan semula pada Mac hingga April 2021.

Malangnya, masih belum ada maklumat terbaru sehingga kini.

Liew berkata persatuan juga mengemukakan aduan pada Julai tahun lepas.

Beliau mendesak kerajaan mengumumkan spesifikasi baharu program ini bagi membolehkan syarikat perunding terus mempromosikan MM2H dan membantu dalam menjana pendapatan daripada tukaran wang asing.

“Setelah sempadan dibuka kembali, pemohon kemudian dapat datang ke Malaysia untuk membuat permohonan dengan lancar kerana prosesnya memerlukan tempoh dua hingga tiga bulan untuk menyiapkan dokumen di negara mereka terlebih dulu.

“Sekarang setelah rancangan vaksinasi kerajaan berjalan dengan baik, pembukaan kembali MM2H mulai sekarang adalah tepat pada waktunya untuk peluang menarik lebih banyak pelabur asing ke Malaysia,” kata Liew. – 26 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan