Polis pantau protes doktor, tidak jejas ketenteraman awam, kata KPN
Iklan
RANCANGAN bantahan doktor kontrak tidak menunjukkan petanda akan mengancam ketenteraman awam, kata Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurutnya, polis mengambil maklum gerakan oleh sebilangan doktor kontrak yang berhasrat mengadakan protes di seluruh negara hari ini.
“Namun, setakat ini kita tidak menerima maklumat protes berkenaan akan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Acryl Sani berkata, polis juga akan memantau hartal atau mogok doktor kontrak yang dijangka diadakan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara, hari ini.
“Polis akan memastikan peserta hartal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan mogok hari ini, jika dua tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak dipenuhi kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan perlantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.
Perdana menteri berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutannya, iaitu jaminan lantikan tetap bagi doktor kontrak dan baru, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.
Kumpulan itu merancang untuk keluar daripada fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja, tepat jam 11 pagi hari ini.
Dijangka seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara akan menyertai mogok itu.
Mengambil kira wabak Covid-19, penganjur kumpulan doktor kontrak itu menggesa peserta mogok untuk memastikan ada doktor pengganti dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting perlu kembali bertugas jika keadaan memerlukan. – 26 Julai, 2021.