Doktor di MAEPS batal protes kerana diugut, dakwa penganjur
Iklan
DOKTOR di di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang terpaksa membatalkan protes mereka kerana diugut akan ditahan polis, dakwa kumpulan Hartal Doktor Kontrak hari ini.
“#MAEPS diugut dengan police arrest. Kena ugut dengan atasan, kena ugut dengan polis,” kata kumpulan itu menerusi Twitter.
Bagaimanapun beberapa doktor dari pusat berkenaan, yang memakai sut perlindungan peribadi (PPE) atau berpakaian hitam, memuat naik gambar kumpulan bersama plakad yang tertulis “Memprotes tapi pesakit keutamaan kami” sebagai tanda solidariti.
Doktor kontrak di seluruh negara melancarkan protes pada pukul 11 pagi hari ini, walaupun kerajaan menawarkan penyelesaian berhubung perjawatan mereka yang menjadi punca protes berkenaan.
Protes itu bermula di Hospital Sungai Buloh yang menjadi pusat rawatan utama Covid-19 di negara ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melanjutkan kontrak mereka sebelum mendapat penyelesaian konkrit.
Bagaimanapun kumpulan Hartal Doktor Kontrak menolak tawaran yang disifatkan sebagai “separuh masak” dan bukan penyelesaian yang mereka mahukan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam meminta mereka untuk tidak menyertai protes berkenaan dan mengingatkan mengenai ikrar yang mereka lafazkan. – 26 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.