Iklan

Azmin nafi Covid-19 merebak sebab Miti, kilang

50092376723 7e4c3bbbcf o
Menteri Miti, Azmin Ali ketika turut membidas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kerana tidak memberikan bukti, sebaliknya hanya merapu ketika mempersoal penerangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, yang merupakan menteri penyelaras Pelan Pemulihan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.
Iklan

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali mempertahankan dirinya di Parlimen hari ini selepas ahli Parlimen pembangkang mendakwa sektor perkilangan punca Covid-19 merebak tanpa kawalan.

Azmin (Gombak-PN) bangun menunjukkan keratan graf dan laporan berita Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan majoriti kes adalah sporadik dan bukan daripada sektor perkilangan.

“Semua keputusan yang dibuat adalah secara kolektif dalam MKN (Majlis Keselamatan Negara). Sebelum keputusan yang dibuat oleh MKN semua kementerian akan bentangkan senarai positif dan negatif akhirnya setelah mendengar semua pandangan dari sektor kesihatan atau ekonomi MKN akan tentukan mana positif mana negatif,” kata Azmin.

Tambah Azmin, Miti hanya selaraskan senarai positif bagi membolehkan syarikat beroperasi atau tidak.

“Pada ketika ini Miti ada sistem bersepadu dengan penyelarasan semua kementerian dan agensi supaya ada satu pusat sehenti yang menentukan mana sektor dan subsektor yang boleh beroperasi,” kata Azmin.

Azmin berkata demikian ketika sesi jawapan dan penerangan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, yang merupakan menteri penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau bangun selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bertanya kepada Tengku Zafrul mengenai kenyataan Dr Noor Hisham bahawa 80% kes di Selangor melibatkan sektor perkilangan.

Azmin dalam hujahnya sebaliknya berkata, bermula 1 Jun hingga 23 Julai, data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan hanya 8.8% kes melibatkan sektor perkilangan. 

“Saya menegaskan sekali lagi nak bentangkan hujah, ini datang daripada ketua pembangkang, bukan ketua ranting ini kononnya bakal perdana menteri, bentang fakta, berikanlah bukti jangan nak merapu… ini bukan ceramah,” kata Azmin.

Tindakan itu mengundang reaksi wakil rakyat pembangkang yang kemudiannya bertikam lidah. 

Antara yang bangun membantah Azmin, bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mendakwa Azmin menggunakan data terpilih tanpa menyebutkan keadaan sebenar.

“Menteri sangat menyeleweng kerana yang dimaksudkan itu kes dalam kilang itu bergantung pada tarikh.

“Ia hanya menyebut petikan daripada apa yang berlaku. Sebenarnya kilang adalah punca yang terbesar,” kata Dr Dzulkefly (PH-Kuala Selangor). – 26 Julai, 2021.

Iklan
Iklan