Iklan

PRN Sarawak 60 hari selepas DUN bubar 1 Ogos ini, kata GPS

Desmond Davidson3 years ago26th Jul 2021Berita
W 52741257
Sejak tahun lepas lagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersiap menghadapi PRN, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) Abdul Karim Hamzah. – Gambar EPA, 26 Julai, 2021.
Iklan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubar pada selepas darurat tamat 1 Ogos ini, kata Abdul Karim Hamzah.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) parti itu berkata parti dan komponennya sudah bersedia untuk PRN Sarawak.

“Kami bersedia untuk itu. PRN perlu dibuat dalam 60 hari sekiranya DUN dibubarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight ini.

Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata sejak tahun lepas lagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersiap menghadapi PRN.

PBB merupakan parti utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan kerajaan negeri itu. Tiga parti lain ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS menguasai 69 kerusi daripada 82 kerusi DUN Sarawak. 10 kerusi milik DAP manakala dua Adun PKR melompat ke Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan seorang lagi Adun PKR menyertai Bersatu.

PRN menjadi tumpuan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat hari ini kerajaan telah memutuskan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong agar tidak melanjutkan tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau turut berkata enam ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lepas.

Walaupun jumlah kes baharu Covid-19 di Sarawak masih dalam angka ratusan, namun Ketua Menteri Abang Johari Openg beberapa hari lalu berkata ada tanda-tanda pemulihan melihatkan situasi semasa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut berkata sebahagian besar kes baharu yang dilaporkan melibatkan individu dalam siasatan (PUI) yang telah diarah menjalani kuarantin sebelum disaring positif.

Dalam pada itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing yakin PRN12 yang ditangguhkan itu akan dibuat pada Oktober.

Desas-desus di Sarawak mengatakan Abang Johari mahu mengadakan PRN dalam bulan Oktober tahun lepas namun ditunda kerana peningkatan kes Covid-19.

Penangguhan itu kemudian disusuli pula dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk melaksanakan darurat seluruh Malaysia pada 12 Januari untuk memerangi Covid-19.

Langkah itu menangguhkan lafi DUN Sarawak yang berakhir pada 6 Jun kerana di bawah darurat, pilihan raya tidak boleh diadakan.

Justeru Karim menjangkakan PRN kali ini akan menjadi satu pilihan raya yang tidak pernah beliau jangkakan selama ini.

Katanya, PRN Sarawak nanti akan dipenuhi dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

“Sudah tentu Suruhanjaya Pilihan Raya akan buat beberapa peraturan memandangkan Covid-19 belum benar-benar berakhir. Saya jangka, antaranya kena jaga jarak sosial dan pakai pelitup muka waktu mengundi. – 26 Julai, 2021.

Betita penuh di sini.

Iklan
Iklan