Iklan

Hari yang luar biasa di Parlimen

Chan Kok Leong3 years ago27th Jul 2021Berita
Dewan rakyat
Iklan

ENAM bulan selepas perisytiharan Darurat, Dewan Rakyat semalam bersidang untuk kerajaan Perikatan Nasional membentangkan pelannya membawa Malaysia pulih daripada pandemik Covid-19 yang sehingga ini sudah meragut lebih 8,000 nyawa dan menjejaskan banyak keluarga.

Sebaliknya, penerangan 65 perenggan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat yang gamat semalam tidak menawarkan apa-apa selain menyatakan bahawa kerajaan sudah menyelamatkan nyawa.

Yang menarik daripada penerangan Muhyiddin mengenai pelan pemulihan negara ialah Kementerian Kewangan akan menerbitkan satu kenyataan pra-belanjawan sebelum Belanjawan 2022 dibentang pada Oktober ini.

Ucapan perdana menteri seterusnya menyentuh tentang empat fasa pemulihan, program vaksinasi serta Majlis Pemulihan Negara, yang semuanya sudah diumumkan sebelum ini.

Pendedahan yang lebih menarik ialah apabila menteri undang-undang Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) menyebut kerajaan pada 21 Julai sudah memansuhkan semua ordinan yang dimasyhurkan sepanjang darurat berjalan sejak 11 Januari.

Katanya, kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar proklamasi darurat baharu apabila ia tamat 1 Ogos ini.

Selepas perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun, Raja-Raja Melayu menitahkan pandangan darurat tidak perlu disambung lagi selepas tempohnya berakhir pada 1 Ogos.

Pendedahan Takiyuddin – lima hari kemudian – mencetuskan banyak tanda tanya mengenai kedudukan denda yang dikenakan selepas 21 Julai, sama ada sah atau tidak, dan sama ada ordinan berkenaan masih perlu dibentang di Parlimen.

Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Proklamasi Darurat dan ordinan di bawahnya mesti dibentang di Parlimen.

Perikatan Nasional memilih untuk tidak mengemukakan Proklamasi Darurat dan ordinannya untuk diundi di Dewan Rakyat ketika tidak jelas sejauh mana kerajaan ini masih disokong oleh Umno selepas parti itu menarik balik dukungan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Isu ungkai atau annulment tidak lagi relevan… enam ordinan di-revoke (batal) berkuat kuasa 21 Julai 2021,” kata Takiyuddin.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata mesyuarat khas Parlimen minggu ini hanya helah kerajaan.

Walaupun kerajaan membenarkan ahli Parlimen bertanya soalan berkaitan pelan pemulihan negara, Muhyiddin tidak muncul di Dewan Rakyat untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka.

Tugas itu sebaliknya diserah kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz selaku menteri penyelaras pelan pemulihan negara walaupun Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hadir di Dewan Rakyat.

Dengan langkah itu, kerajaan mengelak daripada menyentuh persoalan yang dibangkitkan tentang Proklamasi Darurat dan penarikan baliknya minggu lalu, seperti yang disebut oleh menteri undang-undang.

Zafrul bagaimanapun tidak menyelesaikan jawapannya apabila Yang diPertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, yang diperlekehkan oleh ahli-ahli Parlimen pada sebelah pagi, menghentikan sesi pada 5.45 petang. Beliau mengarahkan kerajaan untuk memberikan jawapan bertulis dalam masa seminggu.

Dalam ucapannya Muhyiddin menyifatkan pandemik Covid-19 sebagai “unprecedented event at an unimaginable scale” (sesuatu yang tidak pernah berlaku dan tidak terbayangkan).

Namun bukan pandemik itu sahaja yang tidak pernah berlaku kerana seperti yang disebut oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim, cara kerajaan membiarkan sidang Dewan Rakyat berjalan semalam juga “belum pernah berlaku dalam sejarah Parlimen” apabila persoalan substantif dibiarkan tidak berjawab.

“Belum pernah dalam sejarah negara ini sejak merdeka dan Parlimen diadakan soalan substantif kepada perdana menteri, soal perlembagaan, soal darurat, dijawab oleh menteri kewangan… belum pernah,” jerit Anwar. – 27 Julai, 2021.

Iklan
Iklan