Penguasaan kemahiran 3M murid merosot kerana pandemik, kata guru
Iklan
PANDEMIK Covid-19 memburukkan lagi masalah pelajar yang lemah dalam menguasai tiga kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kata guru sekolah rendah.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight masalah ini amat ketara dalam kalangan murid Tahun 1 dan 2, terutama dalam kalangan pelajar yang memulakan persekolah tahun lalu dan tahun ini.
Ini disebabkan mereka terpaksa menjalani pembelajaran secara tidak berdepan dengan guru disebabkan oleh pandemik.
Seorang guru di Dabong, Kelantan, Mohd Khairul Izzuddin, 31, yang mengajar murid Tahun 1 dan 6, berkata kekurangan kemahiran 3M adalah masalah terbesar perlu diatasi guru di sekolahnya.
“Bagi saya, kemampuan murid dalam pengetahuan asas seperti 3M merosot sama sekali sejak pandemik.
“Saya mengajar di kawasan pedalaman dan proses pembelajaran di rumah tidak boleh dijalankan secara berkesan.
“Murid berdepan banyak cabaran dengan pengajaran secara maya kerana mereka kurang liputan Internet dan peralatan,” katanya.
Khairul berkata sekurang-kurangnya 30% murid di dalam kelasnya tidak dapat menguasai 3M.
“Secara teknikalnya jika anda Tahun 1, anda sepatutnya dapat kemahiran asas ini tetapi keadaan sekarang tidak lagi seperti itu.
“Bila sekolah itu dibuka semula, guru terpaksa patah balik bagi membantu murid bagi kategori ini.”
Khairul berkata KPM perlu mempertimbangkan memfokuskan semula kepada pengukuhan 3M, bukannya terus ke matapelajaran.
“Tidak guna untuk ajar matapelajaran kepada murid bila mereka tidak boleh membaca atau menulis,” katanya.
“Jika boleh, KPM sepatutnya mereka model komprehensif yang boleh digunakan semua guru di negara ini. Jadi proses pembelajaran di Didik TV boleh berdasarkan kepada modul ini juga,” katanya.
The Malaysian Insight sudah menghubungi KPM untuk mendapatkan respons.
Sejak tahun lalu, sekolah ditutup beberapa kali akibat peningkatan kes Covid-19 selain jangkitan dalam kalangan pelajar, menyebabkan mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran dari rumah.
Bagaimanapun, polisi ini juga membangkitkan pelbagai masalah seperti sambungan Internet yang teruk dalam kalangan guru dan murid, kurang peralatan untuk pelajar hadir ke kelas selain isu asks kepada platform seperti Google Classroom dan Zoom.
Masalah ini menyukarkan lagi murid untuk mendapat pengalaman pembelajaran yang komprehensif dari rumah.
Pada 17 Julai, KPM mengumumkan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akan disambung hingga 31 Ogos berikutan situasi semasa Covid-19 yang membimbangkan dan susulan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
KPM juga membuat keputusan untuk sekolah dibuka secara berperingkat untuk pembelajaran secara fizikal bermula 1 September selepas mempertimbangkan kadar imunisasi di negara ini. – 28 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.