Iklan

Takiyuddin elak jelas pemansuhan ordinan darurat

Taki
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan mengelak daripada menjawab serta-merta pertanyaan ahli Parlimen sama ada pemansuhan Ordinan Darurat mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2021.
Iklan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan mengelak untuk menjawab serta-merta pertanyaan ahli Parlimen sama ada pemansuhan Ordinan Darurat telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin (Kota Bharu-PN) sebaliknya menggunakan petua Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam yang mengarah beliau menjawab segala soalan berkaitan Proklamasi Darurat pada Isnin, 2 Ogos.

“Semalam speaker dah buat petua malahan disebutkan mengarahkan menteri undang-undang memberi penjelasan pada Isnin, sedangkan persoalan itu dibangkitkan semalam pun.

“Dengan itu saya meminta dengan rendah diri, untuk berlaku adil kepada kerajaan, saya diberi peluang beri penjelasan semua itu… saya minta… itu permintaan saya,” kata Takiyuddin.

Beberapa ahli Parlimen termasuk ketua pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) membidas jawapan dengan menyifatkannya keengganannya menjawab isu tersebut pada hari ini hanya membuktikan pemansuhan ordinan yang disebutnya belum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin menjawab isu atas peraturan mesyuarat yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen antaranya Gobind Singh Deo (Puchong-PH), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang-PH), M. Kula Segaran (Ipoh Barat-PH), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH), RSN Rayer (Jelutong-PH) dan Shafie Apdal (Semporna-Warisan).

Takiyuddin semalam memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan menarik balik pelaksanaan ordinan-ordinan darurat pada 21 Julai. Semakan menunjukkan Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat mingguannya pada tarikh itu.

Selepas diasak oleh ahli-ahli parlimen pembangkang, Takiyuddin meminta mereka membangkitkan isu tersebut kepada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, yang dijadual memberi penerangan mengenai tindakan menangani Covid-19.

“Sebagai alternatif, ahli Dewan boleh bangkit semasa sesi bahas kementerian kesihatan, pemilik ordinan menteri kesihatan. Isu lain akan jawab pada Isnin,” kata Takiyuddin lagi.

Ahli Parlimen pembangkang kemudian terus mengasak dan mendesak setiausaha agung PAS itu untuk menjawab dengan serta-merta sama ada Agong memberikan perkenan untuk penarikan semula ordinan darurat.

Merujuk peraturan mesyuarat, Gobind Singh Deo (Puchong-PH) mendesak isu itu dijawab “sekarang” pada hari ini juga.

“Ini soal perlembagaan dan undang-undang yang ada kesan kepada rakyat setiap hari,” katanya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kemudian turut bangun meminta jawapan diberikan segera kerana persoalan yang dibangkitkan khusus, “kalau belum (dapat perkenan Agong) kata belum”.

Katanya, perkara ini mendesak kerana melibatkan kuasa Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.

“Kenapa tak boleh jawab dalam proses, kerja-kerja sedang dijalankan… jangan buat helah tunggu Isnin.

“Kita bincang terkait dengan ordinan. Menteri kata dah batal jadi kita nak tahu kalau belum beritahu kata saya tersilap, bukan mudah begitu…

“Ini nak dolak-dalik, ronggeng apa,” kata Anwar. 

Anwar berkata dolak-dalik kerajaan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan.

“Kalau tidak (rakyat) tiada keyakinan kepada kerajaan untuk cakap apa-apa, perkara spesifik begini tak boleh jawab. Kalau Agong perkenan saya percaya ini (menteri) akan bangun dan tunjuk surat…tapi tidak ada,” kata Anwar lagi.

Takiyuddin bagaimanapun membalas beliau tertakluk kepada petua Yang di-Pertua yang memintanya menjelaskan hal itu pada Isnin.

Beberapa ahli Parlimen kemudian menyampuk mendesak Takiyuddin menjawab ada atau tidak perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau tiada jawapan, maknanya kerajaan ini sudah rampas kuasa Yang di-Pertuan Agong,” kata Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH).

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said kemudian menegaskan beliau tidak akan menukar petua yang diberi oleh Azhar semalam, lalu meminta Adham memulakan penerangannya kepada Dewan Rakyat.

Azalina juga berkata sekiranya ahli-ahli Parlimen masih tidak berpuas hati, mereka boleh membangkitkan isu sama sekali lagi kepada Azhar yang akan mempengerusikan mesyuarat bermula 11 pagi. – 27 Julai, 2021.

Iklan
Iklan