Ahli politik kurang arif tangani Covid-19, kata Dr Mahathir
Iklan
DR Mahathir Mohamad berpandangan ahli politik tidak sesuai menguruskan pandemik Covid-19 kerana usaha melawan pandemik tidak boleh dilakukan dengan keputusan politik.
“Akhir-akhir ini kerajaan bercadang jemput ahli parti lawan menyertai Majlis Pemulihan Negara. Ini tindakan politik dan ia tak berhasil.
“Sepatutnya diadakan satu badan profesional yang dianggotai pakar dalam bidang kesihatan, ekonomi, dan sosial kerana inilah masalah yang melanda negara kita.
“Ahli politik walaupun mereka bijak tapi nampak kurang arif dalam usaha membanteras wabak Covid-19 ini,” katanya kepada Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Langkawi itu membahaskan penerangan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai tindakan menangani Covid-19.
Dr Mahathir sebelum ini mencadangkan majlis seumpama itu namun kurang penglibatan politik di dalamnya.
“Patutnya kita adakan Majlis Pemulihan Negara yang dianggotai ahli profesional dan orang politik tak boleh campur tangan kerana orang politik utamakan kelebihan politik mereka berbanding sekat wabak ini,” katanya.
Pengerusi Pejuang itu memberi contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada 26 September tahun lalu, yang menyebabkan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.
“Hasil tindakan itu peningkatan 2,000 kes pada satu hari, kemudian tindakan isytihar darurat meningkat 5,000 kes bila umum pelan pemulihan meningkat 17,000.
“Keputusan politik tak mampu kurangkan kes wabak sebab itu kita perlu ada badan dianggotai pakar, dalam bidang membanteras wabak penyakit dan kita sedar banyak perkara yang boleh dilakukan tapi tak dilakukan,” kata Dr Mahathir. – 27 Julai, 2021.